PELAJAR AGIH LIMAU DAN KAD TAHUN BARU CINA KEPADA PENDUDUK

No Comments »

30 Jan 2009
Cyberita, Beritah Harian Singapura

Oleh
Linilidia Abdul Hamid

PERAYAAN Tahun Baru Cina kali ini disambut secara besarbesaran oleh Sekolah Menengah Bedok View.
Sekolah yang menyambut ulang tahunnya yang ke-30 itu menggembleng tenaga para pelajar dan kakitangannya memberikan buah limau dan kad Tahun Baru Cina kepada penduduk di sekitar kawasan sekolah itu.

Seramai 1,500 pelajar dan lebih 100 kakitangan sekolah itu mengunjungi rumah-rumah di 39 blok yang terletak di Bedok South Avenue 3.

Idea melakukan kunjungan besar-besaran itu diutarakan pendidik bersekutu (allied educator), Cik Saifiatun Jaafar, 56 tahun.

Menurutnya, idea itu timbul sebagai rasa penghargaan kepada penduduk di sekitar sekolah yang sering memberikan maklum balas dan bekerjasama dengan mereka.

Lawatan itu juga merupakan sebahagian projek penglibatan masyarakat (CIP) pihak sekolah.

‘Ini salah satu cara kami memperkenalkan pelajar-pelajar kami kepada penduduk di kawasan Bedok South Avenue 3.

‘Sebelum kunjungan ini, kami tekankan kepada para pelajar peri pentingnya mengenali jiran-jiran kita dan bekerjasama dengan mereka,’ ujar Cik Saifiatun yang mendapat sokongan melaksanakan idea itu daripada pengetua sekolah tersebut, Encik Boo Chong Han.

Salah seorang pelajar yang ditemui semasa acara kunjungan itu, Muhd Aidil Khalis, 16 tahun, berkata:

‘Sebelum keluar buat kunjungan, cikgu saya sudah beritahu tentang pantang-larang yang harus kami patuhi. Contohnya, limau yang diberikan mestilah genap kerana angka ganjil dianggap tidak bertuah.

‘Lagipun lawatan sebegini juga dapat meningkatkan profil sekolah kami di kejiranan ini.’

Dia dan rakan-rakannya kelihatan begitu ghairah mengagihkan limau serta kad Tahun Baru Cina yang mereka reka sendiri kepada penduduk di Blok 172.

Salah seorang penduduk yang menerima kunjungan para pelajar itu ialah Cik Nairooza Hassen, 30 tahun, seorang warga Sri Lanka beragama Islam.

Beliau rasa tersentuh kerana tetap diberikan limau dan kad Tahun Baru Cina meskipun telah menjelaskan kepada para pelajar yang menemuinya bahawa beliau tidak menyambut Tahun Baru Cina.

‘Saya tidak menyambut Tahun Baru Cina tetapi pelajar-pelajar itu kata tidak mengapa, mereka akan tetap berikan limau dan kad kerana Singapura negara berbilang kaum,’ ujarnya, yang baru tiba di sini lima hari lalu.

KEJADIAN BAWA BUKTI KUKUHNYA PERPADUAN SINGAPURA

No Comments »

30 Jan 2009
Cyberita, Beritah Harian Singapura

Serangan pengganas di Mumbai, India, baru-baru ini meninggalkan kesan ke atas ramai orang, termasuk di Singapura. Ini lebih-lebih lagi kerana ia turut mengakibatkan korban pengganasan pertama Singapura, Cik Lo Hwei Yen. Apakah pengajaran yang dapat ditimba daripada tragedi itu dari segi usaha memupuk keharmonian kaum dan agama di sini? Ikuti petikan wawancara eksklusif (shamj@sph.com.sg) bersama bapa mentua mendiang Lo, Encik Stephen Puhaindran, mengenai tanggapan beliau terhadap kejadian itu.

BH: Bagaimanakah serangan pengganas ini menjejas pandangan anda terhadap keharmonian kaum dan agama di Singapura?
Encik Puhaindran: Pertamatama, saya ingin ceritakan sedikit tentang saat-saat sebelum kejadian itu. Anak saya, Michael, menelefon saya sekitar 2 pagi dan memberitahu bahawa isterinya, Lo, berada di hotel itu (Hotel Oberoi Trident di Mumbai yang diserang).

Disebabkan itu, isteri saya terjejas teruk. Saya pula perlu mengawal diri kerana pertama, saya lebih tua, dan kedua, saya mempunyai peranan untuk menenangkan anak dan isteri saya bahawa menantu saya akan selamat.

Jadi, tumpuan saya hanya satu, iaitu untuk membawa menantu saya pulang. Tidak ada perkara lain yang bermain dalam fikiran saya kecuali harapan itu.
Saya melihat keadaan di sana menerusi kaca televisyen dan apa yang menyentak saya ialah apabila mendapat tahu menantu saya telah dibunuh. Anak saya yang menyampaikan berita buruk itu menerusi SMS (khidmat pesanan ringkas).

Saya tertanya-tanya mengapa mereka sanggup membunuh menantu saya. Namun, saya tidak akan menjadi marah dan menggunakan perkataan-perkataan marah. Saya perlu mengawal diri. Jika kita marah, kita boleh tersilap kata dan daripada kita menghuraikan masalah, kita boleh menimbulkan masalah.
Kita semua tinggal di Singapura yang kosmopolitan. Kita mempunyai ramai kawan daripada pelbagai bangsa, dan saya bangga sebagai rakyat Singapura.
Kebanggaan saya kian menyerlah apabila mendapat tahu masyarakat daripada pelbagai latar belakang, bangsa dan agama datang menemui saya dan memberi sokongan yang amat saya perlukan. Insiden ini tiada kaitan dengan bangsa atau agama. Ia berkaitan satu golongan yang mahu membunuh. Sayangnya menantu saya yang mereka pilih untuk dibunuh.
Jadi, sedalam mana ia menjejas pandangan saya (tentang keharmonian kaum dan agama di Singapura)? Ia tidak menjejas sama sekali kerana saya tahu siapa yang sebenarnya melakukannya (pembunuhan di Mumbai).

BH: Adakah insiden ini membuat anda mempunyai pandangan negatif terhadap agama Islam yang disalah guna para militan itu?
Encik Puhaindran: Dari awal lagi saya sudah mengenali siapa sebenar yang melakukannya. Malah, isteri saya yang teruk terjejas dan sering meraung bertanya mengapa menantunya yang perlu mati sedikit pun tidak katakan tentang bangsa mahupun agama.

Dan apabila saya memerlukan seseorang untuk menjaga isteri saya – beliau dalam keadaan terlalu sedih – siapa datang membantu? Dr Fatimah Lateef, seorang Muslim. Ia seolah-olah pesanan daripada Tuhan yang mengatakan jika anda perlu bantuan, ini dia teman anda.

Ia sungguh pelik kerana saya mempunyai ramai saudara dan rakan doktor tapi beliaulah orang pertama yang datang menghulurkan bantuan. Pada saya, seolaholah Tuhan memesan: jika mahu marah, marahlah pada sasaran betul.

Lagipun saya bekas seorang guru. Saya mengajar di Raffles Institution dari 1959 hingga 1979 dan kemudian sebagai inspektor sekolah selama 15 tahun. Sebagai guru, bagaimana boleh saya ada kecenderungan atau pandangan negatif?

BH: Apakah pesanan anda kepada rakyat Singapura untuk mengelakkan kerosakan pada fabrik sosial jika kejadian seperti ini berlaku lagi?
Encik Puhaindran: Kita perlu bertindak secara normal. Dengan cara itu, kita akan mendapati kita boleh bergaul dengan orang lain tanpa masalah. Sama ada kita duduk bersama orang makan babi atau makanan halal, jika semua tahu dan saling menghormati pendirian orang lain, tiada siapa akan berasa janggal.

Saya teringat beberapa wanita Muslim datang menemui saya dan mengucapkan kata-kata takziah. Mereka sama-sama menangis dan saya mendapati bahawa selagi seseorang itu berkelakuan normal, mengikut keadaan, lebih mudah untuk kita menerima jika perkara seperti ini berlaku.

BH: Apakah pengajaran yang dapat dipelajari daripada insiden berdarah itu?
Encik Puhaindran: Bagi saya, saya perlu teruskan kehidupan seperti biasa. Dan yang penting sekali ialah meneruskan kehidupan tanpa sebarang kecenderungan atau pandangan negatif.

Kita boleh mempunyai perbezaan, tetapi kita tidak boleh terlalu cenderung terhadap sesuatu isu. Pada akhirnya, kita perlu sedar bahawa kita semuanya sama.

Fabrik sosial di Singapura amat kuat berdasarkan apa yang telah ditunjukkan oleh rakyat jelata kerana saya mendapati masyarakat pelbagai bangsa dan agama datang meratapi pemergian menantu saya. Tiada yang mengatakan ‘Oh, dia Katolik. Lupakan saja.’ Tidak, saya tidak mendengar kata-kata seperti itu.

Ada juga warga Singapura yang pulang dari luar negara dan terserempak dengan saya di jalan dan menangis kerana mereka turut berasa kesedihannya. Bagi saya, itulah penentunya.

Seluruh rakyat Singapura berkongsi apa yang saya dan keluarga saya lalui.

Semangat kesingapuraan amat kuat sekali dan sepanjang hidup saya, insiden ini merupakan yang paling ketara.

Semua orang datang dan sama-sama memberi sokongan yang saya dan keluarga saya perlukan, tanpa mengira bangsa atau agama.

MENTUA KORBAN MILITAN TIDAK SALAHKAN ISLAM

No Comments »

30 Jan 2009
Cyberita, Beritah Harian Singapura
Oleh
Shamsul Jangarodin

PERISTIWA pahit yang menimpa Encik Stephen Puhaindran sekeluarga masih segar dalam ingatan.

Menantunya, Cik Lo Hwei Yen, dibunuh pengganas Muslim yang menyerang Hotel Oberoi Trident di Mumbai, India, November lalu.

Namun, jauh daripada menuding jari ke arah masyarakat Islam atau marah terhadap orang Islam, Encik Puhaindran membidas tindakan mereka dan mengasingkan golongan tersebut daripada masyarakat Islam yang beliau kenali.

‘Mereka orang gila. Orang Islam yang saya kenal tidak berkelakuan begini. Mereka hanya satu golongan yang mahu membunuh.
‘Sayangnya menantu saya yang mereka pilih untuk dibunuh,’ ujar Encik Puhaindran dalam satu temu ramah eksklusif bersama Berita Harian baru-baru ini.

Ini kali pertama Encik Puhaindran, 72 tahun, meluahkan perasaannya kepada media mengenai tragedi yang menimpa keluarganya itu.
Pertemuan wartawan dengan bekas guru Raffles Institution (RI) yang kini pengerusi kebajikan di Jawatankuasa Perundingan Rakyat (CCC) Marine Parade itu mendedahkan banyak tentang keperibadian beliau sebagai warga Singapura yang peka tentang kepentingan keharmonian kaum dan agama.

Beliau seorang penyabar dan amat prihatin tentang keamanan yang Singapura kecapi dan sedar ia perlu sentiasa dijaga.

Encik Puhaindran juga sedar bahawa menunjukkan kemarahan secara melulu ke arah sesebuah masyarakat boleh menimbulkan lebih banyak kacau-bilau.
‘Saya tidak akan menjadi marah dan menggunakan perkataan-perkataan marah. Saya perlu mengawal diri. Jika kita marah, kita boleh tersilap kata,’ ujar beliau.
Sambil memandang jauh, Encik Puhaindran berkata beliau percaya Tuhan telah memberinya petunjuk bahawa jika beliau perlu marah, marahlah terhadap orang yang melakukan serangan di Mumbai dan bukan orang Islam lain.

‘Apabila saya memerlukan seseorang untuk menjaga isteri saya – beliau dalam keadaan terlalu sedih – siapa datang membantu? Dr Fatimah Lateef, seorang Muslim.
‘Ia sungguh pelik kerana saya mempunyai ramai saudara dan rakan doktor tapi beliaulah orang pertama yang datang menghulurkan bantuan,’ dedah Encik Puhaindran.

Beliau juga begitu ceria menceritakan kisah beliau dibesarkan di Kampong Kapor, dekat Serangoon Road, dan mempunyai ramai kawan pelbagai bangsa.

Bahkan beliau berasa amat bertuah kerana sebagai warga Singapura, beliau berpeluang bergaul dengan kaum lain dan ini membolehkan beliau memahami ajaran agama selain agamanya, termasuk Islam.

Sebelum mengakhiri temu ramah yang diadakan di Kelab Masyarakat Marine Parade itu, Encik Puhaindran menekankan bahawa pembunuhan menantunya itu langsung tiada kaitan dengan Islam.

Perasaan tersebut diperkuat oleh kunjungan pertubuhan-pertubuhan Islam setempat yang menziarahi mendiang Lo, sekali gus memperkuatkan tanggapannya bahawa Islam
mencintai kedamaian dan menghormati semua manusia tanpa mengira bangsa atau agama.

Ditanya tentang pengajaran yang dapat dipelajari daripada peristiwa berdarah itu, Encik Puhaindran menjawab:
‘Peristiwa ini menonjolkan semangat kesingapuraan yang kuat. Semua orang datang dan sama-sama memberi sokongan yang saya dan keluarga perlukan, tanpa mengira bangsa atau agama.’

Easy AdSense by Unreal
SEO Powered by Platinum SEO from Techblissonline