Ustaz Sonhadji Mohamad – Berdakwah Melalui Mata Pena

No Comments »

Book cover of Abrul Athir by Ust Sonhadji

Walaupun usia Ustaz Sonhadji sudah melebihi 80 tahun, tutur katanya masih fasih, pemikirannya tetap tajam dan daya ingatannya sentiasa segar. Beliau sentiasa mengikuti perkembangan semasa agar ilmunya dapat dimanfaatkan oleh sesiapa yang merujuk kepadanya.

Muat turun tulisan ini dalam format PDF di bawah:

Januari 2005
Majalah Sarina
Oleh Rudy Herman Sinen
Download PDF

Mac 2005
Majalah I, Karangkraf
oleh: Rudy Herman Sinen
Download PDF

Bermula dari satu siri kuliah tafsir Al Quran di radio, kemudian kuliah tafsir itu diolah menjadi sebuah kumpulan kitab-kitab tafsir Al Quran 30 jilid yang dinamakan Abrul Athir. Kitab tafsir Al Quran Abrul Athir itu kini menjadi rujukan dan buku teks di majlis pengajian tafsir di Malaysia, Singapura dan Brunei. Ia merupakan satu-satunya kitab tafsir yang lengkap dan mudah difahami yang asalnya ditulis dalam bahasa Melayu.

Tokoh besar yang menghasilkan kitab tafsir Abrul Athir ini tidak lain ialah Ustaz Ahmad Sonhadji Mohamad. Beliau dikenali sebagai seorang ulama dan ahli tafsir Al Quran yang tersohor di rantau ini. Malah, beliau adalah segilintir ahli agama yang menggunakan ketajaman mata pena untuk menyampaikan dakwah.

Kitab Mari Sembahyang yang digunakan secara meluas di majlis pengajian asas sembahyang adalah satu contoh sumbangan yang sangat bermakna dari Ust Ahmad Sonhadji kepada masyarakatnya.

Dari mengarang kitab-kitab peringkat asas hinggalah ke kitab tafsir yang mengupas ilmu-ilmu Al Quran yang mendalam, Ust Ahmad Sonhadji masih terus menulis dan berdakwah melalui kitab-kitabnya.

Ust Sonhadji

Manusia Biasa

Pada bulan Ogos 2004 yang lalu, genaplah usia Ustaz Ahmad Sonhadji, atau lebih mesra dikenali sebagai Ustaz Sonhadji, menjangkau 82 tahun. Sempena usianya yang ke-82 tahun, beliau telah menerbitkan sebuah lagi buku bertajuk “Tazkirah Untuk Orang Mengaji: Karya Sonhadji”. Buku itu adalah kumpulan catatan-catatan beliau mengenai kehidupan dari sudut pandangan Islam yang beliau tulis sedikit demi sedikit sejak bertahun lamanya.

Jiwa pendidik beliau tetap mekar mengatasi tubuh dan usianya yang semakin meningkat. Beliau masih mengadakan kelas pengajian, aktif di masjid, menghadiri majlis agama dan sering diminta nasihat dan menjadi tempat rujuk bagi berbagai kemusykilan agama Islam.

Jika anda bertanya kepada Ustaz Sonhadji dari manakah beliau mendapat semangat dan tenaga untuk terus memberi sumbangan dalam bidang dakwah dan pendidikan, beliau akan menjawab dengan rendah hati, “Saya ini kan manusia biasa.”

Namun, di sebalik beliau sebagai “manusia biasa”, tersirat suatu keberkatan yang “memimpin” dirinya sejak zaman kanak-kanak sehinggalah meningkat dewasa.

Ustaz Sonhadji dilahirkan di Solo, Jawa Tengah di dalam sebuah keluarga yang susur galurnya berasal dari keluarga kiayi dan pembesar negara. Di antaranya ada yang menjadi ulama hafiz Al Quran, guru kepada Sultan Solo ke-4, pendiri madrasah dan pejuang bangsa.

Bapanya bernama Mohamad Milatu Bin Hj Haromain Bin Hj Othman Bin Hasan Muharrar sementara ibunya bernama Raden Ummi Salamah Binti Hj Anwar Bin Wiryodikromo.

Nama Sonhadji juga ada keistimewaannya. Ia diambil sempena dengan nama seorang pengarang kitab iaitu Syeikh Sonhadji. Beliau mengarang kitab nahu bahasa Arab yang bertajuk Matan Ajrumiyah. Dan nama Sonhadji juga dikatakan nama sebuah kerajaan Islam di Afrika pada masa lampau.

Seawal umur 5 tahun, Ustaz Sonhadji sudah dibawa merantau oleh bapanya. Mereka ke Singapura pada tahun 1927 dan langsung menetap di kawasan Jalan Sultan. Kemudian mereka berhijrah ke Rengat, Riau Sumatera buat sementara waktu. Di sanalah beliau mendapat asuhan pendidikan agama awal kerana bapanya juga ialah seorang guru agama di Rengat. Pada usia 14 tahun, Ustaz Sonhadji kembali semula ke Singapura dan menuntut di Madrasah Aljunied dari kelas Tahdiri hingga ke kelas Tahun Enam.

Pengajiannya di Madrasah Aljunied berjalan dengan sempurna sehinggalah, tanpa diduganya, Singapura dijajah tentera Jepun. Oleh kerana keadaan di Singapura menjadi tidak menentu semasa peringkat awal penjajahan Jepun, beliau tidak dapat menyambung pengajiannya. Lalu, beliau kembali ke Rengat buat sementara waktu.

Setelah berada di Rengat, Ustaz Sonhadji tidak hanya mendiamkan diri. Beliau mengambil peluang untuk menyebarkan ilmu dengan membuka sebuah madrasah di sana bersama seorang guru yang dikenalinya. Madrasah di Rengat itu dinamakan Perguruan Agama Islam Rengat.

Walaupun sibuk menguruskan madrasah barunya di Rengat, Ust Sonhadji masih tetap tidak melupakan pengajiannya yang tertangguh di Madrasah Aljunied kerana perang. Beliau kembali semula ke Singapura dan akhirnya berjaya menamatkan pengajian Tahun Enamnya pada tahun 1944.

Mula Menabur Bakti

Setelah tamat pengajian, Ustaz Sonhadji menjadi guru pelatih di Madrasah Aljunied selama setahun dan terus menjadi guru penuh. Pada tahun 1945, beliau dipelawa untuk memulakan pengajian agama di Persatuan Bustanul Ariffin di kawasan Coronation Road. Walaupun hasrat awalnya ialah untuk membuka kelas pengajian di rumahnya sendiri, namun beliau mendahulukan permintaan Persatuan Bustanul Ariffin untuk membuka kelas pengajian di rumah persatuan itu.

Dengan takdir Allah, khidmatnya di Bustanul Ariffin tidak berpanjangan. Lantas beliau menuruti rancangan awalnya untuk membuka pengajian agama di rumahnya sendiri di kawasan Coronation Road juga. Murid yang datang belajar di rumahnya sahaja melebihi 100 orang. Kelas pengajian di rumahnya itu berjalan selama 7 tahun.

Pada tahun 1956, beliau bersama teman-teman seperjuangannya menubuhkan Persatuan Guru-Guru Agama Singapura (PERGAS), sebuah persatuan guru agama Islam di Singapura.

Ustaz Sonhadji juga pernah menabur bakti di Brunei di Sekolah Menengah Arab Hassanul Bolkiah. Beliau menyandang jawatan Ketua Guru di sekolah itu dari tahun 1966 hingga 1970.

Sekembalinya ke Singapura dari bertugas di Brunei, Ustaz Sonhadji dilantik menjadi Pengetua Madrasah Aljunied dari tahun 1973 hingga 1980. Beliau juga berkhidmat sebagai Imam di Masjid Muhajirin, di kawasan Bradell sejak tahun 1980.

Khidmat masyarakatnya tidak berhenti di situ sahaja. Beliau terus menabur bakti, menyebarkan ilmu, mendidik dan membimbing masyarakatnya tanpa kenal penat dan menagih imbalan materi.

Sejajar dengan tarafnya sebagai seorang ulama yang arif dan dihormati, beliau dilantik menjawat beberapa jawatan penting. Di antaranya:

  • Anggota Tertinggi Majlis Ugama Islam Singapura (1980-1992)
  • Jawatankuasa Fatwa Majlis Ugama Islam Singapura (1974-1992)
  • Lembaga Rayuan Majlis Ugama Islam Singapura (1974-1986 dan 1990)
  • Jawatankuasa Penasihat Islam, Kementerian Hal Ehwal Masyarakat (1960-1962)
  • Jawatankuasa Pelajaran Agama Islam, Kementerian Pelajaran (1958-1960)

Jasanya terhadap masyarakat tetap tidak dilupakan, malah diberi penghormatan. Pada tahun 1988, Ustaz Sonhadji dianugerahkan Pingat Bakti Masyarakat. Dan pada tahun 1992, Majlis Ugama Islam Singapura menganugerahkan Ustaz Sonhadji dengan Anugerah Jasa Cemerlang.

Ust Sonhadji pen his autograph.

Berdakwah Dengan Mata Pena

Ustaz Sonhadji berdakwah dan mendidik dengan berbagai cara. Bukan sahaja melalui kelas-kelas agama dan syarahan, beliau juga arif menyampaikan dakwah melalui mata pena.

Memang sudah menjadi budaya para ulama zaman silam yang berdakwah melalui penulisan hingga terbitnya kitab-kitab agung yang masih dibaca hingga kini. Ustaz Sonhadji mewarisi budaya penulisan seperti itu. Sudah tentu anda pernah membaca kitab-kitabnya seperti

  • Mari Sembahyang Lelaki/Perempuan
  • Pelajaran Sembahyang
  • Pelajaran Sembahyang Berjemaah
  • Benih Agama I, II, III, IV
  • Pendidikan Budi Pekerti I, II
  • Panduan Memahami Tafsir Al Quran I, II
  • Pengetahuan Agama Islam (Bahagian Tauhid, Fiqih dan Sejarah Islam yang disusun bersama pengarang lain.)

Ciri-ciri seorang pendakwah juga terserlah sejak di bangku sekolah lagi. Selain dari cemerlang dalam pelajaran, beliau juga menubuhkan kumpulan nasyid dari kalangan murid-murid madrasah, ketika usianya 14 tahun. Kumpulan nasyid ini terus berkembang sehingga Ust Sonhadji menjadi guru di Madrasah Aljunied. Beliau juga berkebolehan mencipta lagu-lagu nasyid. Dan sebuah nasyid yang popular hingga ke hari ini ialah nasyid bertajuk “Nahnu Syababul Islam” (Kami Pemuda-Pemuda Islam).

Walau begitu, satu-satunya sumbangan Ustaz Sonhadji yang amat berharga kepada masyarakat ialah melalui kumpulan kitab tafsir Al Quran yang dinamakan Abrul Athir. Kitab Abrul Athir merupakan sebuah koleksi 30 jilid kitab tafsir Al Quran yang diusahakan oleh Ustaz Sonhadji selama 25 tahun.

Ustaz Sonhadji mula menulis tafsir Al Quran ini pada tahun 1959. Teks asal tafsir Al Quran ini ialah dalam format skrip radio untuk memenuhi sebuah rancangan agama di Radio Singapura pada masa itu. Ustaz Sonhadji diberi peluang menyampaikan ceramah tafsir Al Quran di Radio Singapura bermula dari 19 Februari 1959 pada setiap malam Jumaat. Ternyata beliau tidak mensia-siakan peluang untuk menyampaikan ilmu di gelanggang yang lebih luas lagi. Melalui radio, dakwahnya dapat didengari di mana dan oleh sesiapa sahaja.

Oleh kerana bermulanya penulisan kitab tafsir Al Quran ini untuk sebuah rancangan radio, maka beliau menamakan kitab ini sebagai Abrul Athir yang bermaksud “merentasi gelombang udara”.

Tahun demi tahun berlalu, Ustaz Sonhadji tetap cekal hati menulis dan menyampaikan kuliah tafsir melalui radio. Walaupun beliau tidak dapat melengkapkan kuliahnya di radio sehingga 30 juzuk, beliau masih terus menulis kitab tafsir ini tanpa bertangguh-tangguh. Samada di rumah, di pejabat, dalam pesawat, semasa bertugas di Brunei atau di mana sahaja, beliau terus berusaha menyiapkan karangan agungnya itu. Beliau memperuntukkan masa sekurang-kurangnya 3 hari penuh setiap minggu untuk mengkaji, menelaah, mengupas dan menulis kitab tafsirnya itu.

Akhirnya, 25 tahun kemudian, iaitu pada tarikh 26 April 1984, lengkaplah sebuah naskhah tafsir Al Quran yang sangat tinggi nilai ilmunya. Kemudian, proses menerbitkan kitab tafsir dilakukan secara bertahap-tahap, bermula dari penerbitan jilid pertama pada tahun 1960 hingga lengkap 30 jilid pada tahun 1988.

Salah satu keistimewaan kitab tafsir Abrul Athir ialah bahasa asalnya ditulis dalam bahasa Melayu dan ia menggunakan bahasa penulisan yang mudah difahami. Hal ini menurut Ustaz Sonhadji ialah supaya semua peringkat masyarakat dapat manfaat dari tulisannya. Beliau berjaya mengupas ilmu tafsir Al Quran yang mendalam hingga menjadi satu subjek yang jelas difahami oleh semua peringkat pembaca.

Dalam kata aluan untuk kitab tafsir Abrul Athir yang ditulis oleh Pendeta Zaaba (Hj Zainal Abidin Bin Ahmad) pada tahun 1960, Zaaba menulis, “… tentulah suatu hal yang boleh dibanggakan kerana dalam bahasa Melayu pada masa ini belum ada tafsir Quran yang cukup luas sampai 30 jilid seperti yang ada dalam bahasa Arab dan lainnya.”

Begitulah besarnya sumbangan Ustaz Sonhadji kepada masyarakat. Kitab tafsir Abrul Athir bukan sahaja telah memartabatkan ilmu Al Quran bahkan ia menambahkan lagi khazanah ilmu Islam di dalam masyarakat.

Mengulas Isu Semasa

Sekalipun usia Ustaz Sonhadji sudah melebihi 80 tahun, tutur katanya masih fasih, pemikirannya tetap tajam dan daya ingatannya sentiasa segar. Beliau sentiasa mengikuti perkembangan semasa agar ilmunya dapat dimanfaatkan oleh sesiapa yang merujuk kepadanya.

Sehubungan dengan ini, Ustaz Sonhadji mempunyai ulasannya yang tersendiri, mengikut tafsiran ayat-ayat Al Quran, mengenai fenomena pengganasan yang sedang menimbulkan cabaran bagi umat Islam kini.

Ustaz Sonhadji mengulas mengenai kegiatan pengganasan, “Mereka kurang berpengalaman dalam bidang agama. Dan mereka tertarik dengan satu kegiatan pengganasan. Tetapi mereka ambil jalan mudah dalam berjihad. Mereka gunakan (maksud jihad) yang akhir iaitu peperangan. Sedangkan jihad itu banyak – jihad dengan hati, dengan anggota, dengan fikiran, harta dan akhir sekali dengan nyawa.”

Dalam pada itu, beliau menganalisa bahawa pengganasan berlaku disebabkan timbulnya rasa tidak puas hati dan mahu membalas dendam ke atas orang yang menindas umat Islam.

Beliau berpendapat, “Terrorisme adalah hasil dari jihad. Dan (segolongan) orang Islam merasa tertindas dan hendak membalas dendam.”

Namun, Ustaz Sonhadji menegaskan bahawa di dalam Al Quran sudah ada panduan bagaimana untuk orang Islam menangani cabaran dan bagaimana pula tindak balas yang sepatutnya dilakukan oleh orang Islam jika dicabar.

Menurut Ustaz Sonhadji, di dalam Surah As Syuraa, Allah berfirman,

“Dan balasan sesuatu kejahatan ialah kejahatan yang bersamaan dengannya; dan barangsiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim.” (As Syuura:40)

Melalui ayat itu, jelaslah bahawa walaupun kita boleh membalas kejahatan orang terhadap kita, tetapi Allah melarang tindakan balas itu melampaui kadar kejahatan yang ditimpakan terhadap kita.

Tetapi yang lebih utama ialah kita memaafkan kejahatan orang lain, malah sanggup berbuat baik kepadanya. Dan pahala berbuat demikian akan ditanggung oleh Allah.

Begitulah Ustaz Sonhadji menerangkan betapa indahnya panduan yang Allah berikan untuk umat Islam dalam berhadapan dengan cabaran. Bukan sahaja dianjurkan supaya jangan membalas dendam tetapi memaafkan, malah, yang lebih utama ialah untuk kita berbuat baik terhadap orang yang membuat kejahatan kepada kita.

Melalui kisah yang dipaparkan, jelaslah jasa dan bakti Ustaz Sonhadji kepada masyarakatnya bukan sesuatu yang dilakukannya dengan sambil lewa. Ia juga bukan boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja tanpa memiliki tingkat keyakinan dan iman yang atasan serta kadar daya juang yang optima.

Sepanjang hayatnya, beliau penuhi dengan usaha dakwah dan mendidik anak bangsanya agar terpelihara dari kelalaian dunia dan terus menghidupkan risalah Rasulullah di akhir zaman ini, tanpa mendarab untung ruginya.

Walaupun di sepanjang perjalanan dakwahnya adakalanya beliau dipergunakan, diperlecehkan atau berurusan dengan pihak yang tidak jujur, Ustaz Sonhadji tetap seperti biasa dan meneruskan perjuangan yang diyakininya.

Inilah anugerah Allah kepada beliau berkat memegang kepada pesan ibunya yang sering dilafazkan kepada Ustaz Sonhadji semasa kecil. Ibunya berpesan, “Jangan engkau jadi kaya, jadilah orang mulia.” Justeru kini, beliau mulia kerana memuliakan Al Quran.
[ad#adrect-belowpost]

Masjid Darul Ghufran – Urus Masjid Seperti Urus Syarikat

No Comments »

Darul Ghufran Mosque Singapore

Oleh: Rudy Herman Sinen
Disiarkan di: Majalah I (Karangkraf), Julai 2005. In PDF (690KB)

Sejurus tamat pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia, Ahmad Khusairi Abidin, 22 tahun, mula berkhidmat sepenuh masa di Masjid Darul Ghufran sebagai Guru Madrasah. Lima bulan kemudian, beliau menyandang jawatan Pegawai Eksekutif Pembangunan Belia dan Dakwah. Tugas barunya ialah untuk mengembangkan kegiatan belia masjid serta melebarkan sayap dakwah kepada belia dan juga masyarakat umum.

Ahmad Khusairi, yang memiliki ijazah kepujian dalam bidang Syariah, merupakan di antara golongan karyawan muda yang sedang bekerja cergas menguruskan program-program Masjid Darul Ghufran. Hasilnya ialah program-program Masjid Darul Ghufran sentiasa innovatif, bermutu dan dapat memenuhi jangkauan jemaah dengan cemerlang.

Masjid Darul Ghufran Singapura terletak di sebelah timur Singapura di kawasan perumahan Tampines. Tampines merupakan sebuah kawasan perumahan yang moden, lengkap dengan 4 buah pusat beli-belah, sebuah sekolah politeknik serta kawasan pejabat syarikat-syarikat berbilang negara.

Jumlah penduduk di kawasan Tampines sekitar 200,000 orang dan penduduk muslim merangkumi sebahagian besar dari jumlah penduduk di sini. Secara purata, penduduk Tampines mempunyai taraf pendidikan pos menengah serta mempunyai pendapatan kelas pertengahan.

Sejajar dengan profil penduduk Tampinies inilah, pihak pengurusan masjid secara berpandangan jauh berusaha untuk mencapai satu visi cemerlang dalam pengurusan masjid.

Darul Ghufran Mosque Singapore

Visi Pusat Cemerlang

Encik Muhammad Effendy Ibrahim, Pengerusi Masjid Darul Ghufran menerangkan, “Visi Masjid Darul Ghufran ialah untuk menjadi pusat pilihan bagi pendidikan dan dakwah.”

Visi inilah yang diterapkan dalam setiap program yang dilaksanakan bagi penduduk Tampines khususnya dan bagi penduduk muslim Singapura secara keseluruhan. Bagi En Effendy, mutu sesuatu program terletak pada sejauhmana ia mencapai matlamat Masjid Darul Ghufran itu.

Beliau berpendirian untuk menjadi sebuah pusat pilihan, program-program yang dianjurkan mesti mempunyai nilai tambah bagi peserta dan juga mesti mampu menjadi peneraju dalam mencetuskan program-program yang bermutu dan kreatif.

Gagasannya besar dan memerlukan satu kaedah pengurusan masjid yang terancang rapi. Untuk mencapai tujuan itu, Masjid Darul Ghufran melakarkan satu rangka operasi yang memberi tumpuan terhadap pembangunan dakwah dan pendidikan. Dua bahagian induk itu disokong oleh satu bahagian Khidmat Korporat yang merangkumi bahagian-bahagian pentadbiran dan sumber manusia, kewangan, IT dan perhubungan, khidmat pelanggan serta pengurusan estet dan logistik.

Dalam bidang dakwah, selain dari mengadakan program ceramah agama yang lazim diadakan di masjid, Masjid Darul Ghufran banyak menganjurkan program-program secara sendirian atau menganjurkan program bersama badan-badan lain, termasuk dengan badan-badan bukan Islam.

Contohnya, Masjid Darul Ghufran bersama City Harvest Church, salah sebuah gereja terbesar di Singapura, dan Persatuan Palang Merah pernah menganjurkan acara menderma darah dan program kesihatan.

Tahun lalu, Masjid Darul Ghufran bersama enam pertubuhan kemasyarakatan yang lain secara kolektif menganjurkan acara Peace One Day untuk memperingati Hari Keamanan Sedunia sekaligus menyatukan badan-badan agama lain dalam satu acara khas.

Kerjasama juga dilakukan dengan National University of Singapore Muslim Society untuk menganjurkan Islamic Awareness Week (Minggu Kesedaran Islam) di dataran bersebelahan sebuah pusat beli-belah di Tampines dengan tujuan untuk memberi penerangan kepada masyarakat umum mengenai agama Islam.

Pada tahun baru hijrah 1426 ini, Majlis Ugama Islam Singapura telah memilih Masjid Darul Ghufran sebagai tempat untuk melancarkan sambutan Maal Hijrah bagi seluruh negara.

Salah satu program yang mendapat sambutan ramai ialah program Bicara Iman. Ustaz Jamaluddin Abdul Wahab, Imam Eksekutif Masjid Darul Ghufran menerangkan, “Konsep program Bicara Iman ialah diskusi ilmiah yang diselang-selikan dengan tayangan video dan sketsa.”

Kunjungan-kunjungan muhibbah juga kerap dilakukan oleh pertubuhan-pertubuhan kristian, buddha dan sekolah-sekolah ke Masjid Darul Ghufran dalam usaha mereka mengenali dengan lebih rapat masyarakat Islam di Singapura.

Darul Ghufran Mosque Singapore

Menarik Ramai Jemaah

Ustaz Jamaluddin akur bahawa salah satu kekuatan Masjid Darul Ghufran ialah jumlah jemaah yang ramai berbanding dengan masjid-masjid lain. Dan perkembangan ini menjadikan staf di Masjid Darul Ghufran lebih bersemangat dan terdorong untuk bekerja keras bagi menyediakan khidmat yang terbaik.

Ustaz Jamaluddin, yang berpengalaman mengajar di sekolah-sekolah agama di kawasan Gombak, Selangor dan Port Dickson, Negeri Sembilan, mendedahkan bahawa banyak masjid-masjid lain yang meminta Masjid Darul Ghufran menganjurkan program bersama dan sebab utamanya ialah kerana Masjid Darul Ghufran mampu menarik jumlah jemaah yang ramai.

Kejayaan Masjid Darul Ghufran dapat menarik ramai peserta dan jemaah untuk menyertai program-programnya adalah satu pencapaian yang memberangsangkan. Adakah mungkin kerana Masjid Darul Ghufran terletak di bahagian sentral kawasan Tampines atau mungkin kawasan perumahan Tampines mempunya penduduk Islam yang ramai?

Ustaz Jamaluddin berpandangan, “Saya rasa ini satu anugerah Allah. Sebab ada masjid yang dekat dengan MRT atau terletak di kawasan orang Islam, tetapi masjid itu lengang saja.”

Selami Masalah Masyarakat

Satu lagi inisiatif Masjid Darul Ghufran yang bakal dilaksanakan ialah menubuhkan satu kumpulan yang diberi nama Wafdul Ghufran (Perwakilan Ghufran). Pada masa kini, Masjid Darul Ghufran mempunyai tiga golongan jemaah yang aktif iaitu golongan warga emas yang dinamakan Syeikhul Ghufran, golongan muslimah dan golongan belia yang dinamakan Fityan Ghufran (Belia).

Konsep di sebalik Wafdul Ghufran ialah untuk menggabungkan tenaga ketiga-tiga golongan ini dan menyalurkan mereka ke tengah masyarakat supaya mereka dapat mendekati dan menyelami permasalahan masyarakat. Melalui pendekatan ini, masjid akan dapat mengenal pasti secara tepat siapakah di kalangan anggota masyarakat yang memerlukan bantuan atau bimbingan.

Melalui Wafdul Ghufran juga, pihak masjid berharap dapat berkongsi formula jayanya dalam bidang dakwah dengan masjid-masjid lain di Singapura.

Menyediakan Khidmat Cemerlang

Dengan peranan masjid yang semakin mendapat tumpuan umum, En Effendy sedar akan peri perlunya menyediakan khidmat yang cemerlang bagi para tetamu.

“Kita mahu sesiapa sahaja yang berurusan dengan masjid pulang dengan rasa lega dan gembira. Lebih-lebih lagi, bagi sebuah masjid, jika ada orang bukan Islam yang datang ke masjid tetapi mendapat layanan yang buruk, bayangkan, apakah pandangan mereka terhadap Islam dan masjid,” ujar Pengerusi yang hampir 10 tahun berkhidmat dengan Masjid Darul Ghufran.

Bagi Masjid Darul Ghufran, menyediakan khidmat yang cemerlang bukan sahaja tertumpu kepada khidmat pelanggan. Malah, tumpuannya lebih luas dari itu.

En Effendy mengulas, “Adakah bangunan masjid mesra pengunjung? Adakah masjid ini diselenggarakan dengan baik? Adakah lelaman web masjid mudah digunakan? Adakah papan tanda di masjid tidak mengelirukan?”

Secara berterusan, Masjid Darul Ghufran berusaha untuk meningkatkan infrastruktur dan kemudahan masjid, melatih tenaga kerja dalam bidang-bidang kemahiran mereka dan melaksanakan program-program yang dapat merapatkan masyarakat setempat kepada masjid.

Sebagai Pengerusi Masjid, En Effendy bersama sepasukan 11 orang anggota Lembaga Pentadbir Masjid dan seramai 50 petugas sepenuh masa sama-sama beriltizam untuk mencapai tiga tumpuan utama dalam pembangunan masjid. Tiga tumpuan utamanya ialah:

  1. Kecemerlangan dalam melaksanakan program
  2. Kecemerlangan dalam menyediakan khidmat
  3. Kecemerlangan dalam pengurusan kewangan

Ketiga-tiga tumpuan ini saling berkait dan kukuh-mengukuhkan. Dengan program yang bermutu, khidmat yang cemerlang serta keupayaan kewangan yang mandiri, Masjid Darul Ghufran terus mengatur langkah untuk terus maju berkhidmat dan menjadi masjid pilihan bagi pendidikan dan dakwah.

Fakta Ringkas Masjid Darul Ghufran

Visi: Untuk menjadi pusat pilihan bagi pendidikan dan dakwah

  1. Tarikh dibuka: 7 Disember 1990
  2. Majlis perasmian masjid: 1hb Muharram 1412H bersamaan 13 Julai 1991
  3. Kos pembinaan: S$6.2 juta
  4. Dengan keluasan 0.3 hektar, masjid ini boleh menampung 5000 orang jemaah sekaligus.
  5. Pada tahun 1991, Masjid Darul Ghufran mendapat anugerah dalam kategori “Honourable Mention” oleh Institut Arkitek Singapura kerana reka bentuk, seni bina dan struktur masjid yang menarik.
  6. Masjid Darul Ghufran dikenali sebagai “The Blue Minaret” (Menara Biru) kerana permukaan luar masjid yang berwarna biru.
  7. Lelaman web masjid: http://www.mosque.org.sg/ghufran/

Lembaga Pentadbir Masjid Darul Ghufran

  1. Seramai 11 orang anggota Lembaga Pentadbir Masjid Darul Ghufran yang diketuai oleh En. Effendy Ibrahim.
  2. Seramai 50 orang tenaga kerja sepenuh masa yang bertugas di bahagian pentadbiran masjid, khidmat korporat, madrasah dan guru Al Quran.

Tag: , ,

Warkah Pilu Dari Aceh

No Comments »

Oleh: Rudy Herman Sinen
Disiarkan di: Majalah I (Karangkraf), Mei 2005. In PDF (750KB)

Dua bulan selepas berlakunya tragedi ngeri tsunami yang melanda Aceh, seorang wanita Aceh mengutus sebuah warkah kepada saudaranya. Iriani Masyhuri, yang menetap di Banda Aceh bersama suami dan dua orang anaknya, kehilangan hampir 400 orang anggota keluarga besarnya pada tanggal 26 Disember 2004 lalu. Berikut ialah warkah pilu dari beliau yang merakamkan saat kejadian dahsyat tsunami itu.

Read the rest of this entry »

Masjid Khadijah – Paparkan jalinan muhibbah melalui buku

No Comments »

Oleh: Rudy Herman Sinen
Disiarkan di: Majalah I (Karangkraf), April 2005. In PDF (500KB)

Tidak seperti kebanyakan masjid-masjid yang berada di kawasan ramai penduduk Islam, Masjid Khadijah dikelilingi dengan rumah-rumah penyembahan agama Cina dan juga sebilangan besar persatuan-persatuan kaum Cina. Justeru itu, masjid yang berusia 85 tahun itu berhadapan dengan dua cabaran – bagaimana untuk menarik jemaah untuk memakmurkan masjid dan juga untuk memastikan agar masjid tetap relevan di sekitaran kegiatan agama dan budaya bukan Islam.

Read the rest of this entry »

Penjaga Makam bercita-cita Menjadi Sejarawan

No Comments »

Oleh: Rudy Herman Sinen
Disiarkan di: Majalah Sarina (Karangkraf), December 2004. In PDF (750KB)

Ahmad Ridhwan mempunyai satu kegemaran yang agak pelik. Beliau selalu meluangkan masanya menjaga sebuah makam yang terletak di Chinatown, Singapura, tidak jauh dari Tanjong Pagar.

Read the rest of this entry »

Makam Iskandar Syah Di Bukit Fort Canning

No Comments »

Oleh: Rudy Herman Sinen
Disiarkan di: Majalah Sarina (Karangkraf), September 2004. In PDF (1.5MB)

Pada tahun 1926, satu penemuan yang bersejarah berlaku di puncak Bukit Fort Canning di Singapura. Sekumpulan pekerja pembinaan menemui beberapa buah perhiasan emas dengan ukiran yang luarbiasa terkubur kira-kira 3 metre di dalam tanah. Peristiwa itu berlaku di puncak Bukit Fort Canning semasa para pekerja itu sedang menggali tanah di tapak pembinaan sebuah takungan air.

Barang kemas yang dijumpai itu bukan sebarangan. Ia dipercayai tertanam di situ sejak 700 tahun dahulu kerana semua perhiasan itu mempunyai motif ukiran seni abad ke-14. Di antara perhiasan emas yang dijumpai itu ialah beberapa bentuk cincin dan subang, seutas rantai untuk perhiasan di lengan dan sebuah perhiasan yang berbentuk bujur yang bertatahkan beberapa biji permata kecil.

Dan perhiasan yang paling cantik ialah rantai lengan yang mempunyai bentuk ukiran kepala Tuhan Kala di permukaannya. Kala ialah salah satu anak Tuhan Durga kepercayaan kaum Hindu zaman dahulu. Ukiran berbentuk seperti ini biasanya terdapat pada barang perhiasan yang berasal dari Sumatra dan Jawa.

Hampir 60 tahun kemudian, sekitar tahun 1984, satu usaha untuk membongkar rahsia asal-usul Bukit Fort Canning telah dijalankan oleh Muzium Negara di beberapa buah kawasan di sekitar puncak dan lereng Bukit Fort Canning. Hasil penemuan itu sungguh menakjubkan dan sekaligus membenarkan andaian bahawa di Bukit Fort Canning tersergam sebuah istana raja Melayu yang sambung-menyambung sehingga lima keturunan.

Tambahan lagi, dalam banyak catatan sejarah, ada dinyatakan bahawa sejak tahun-tahun 1300an hingga 1400an, Temasik (nama asal Singapura) merupakan sebuah pusat dagangan utama yang menghubungkan tiga laluan perlayaran penting iaitu laluan dari Lautan Hindi, Lautan Asia Timur dan gugusan kepulauan Indonesia.

DSCN1478

Lokasi strategik

Bukit Fort Canning ialah sebuah bukit di Singapura yang terletak berhampiran dengan muara Sungai Singapura dan dikelilingi jalanraya utama seperti River Valley, Stamford Road dan Hill Street. Jika anda berdiri di puncak Bukit Fort Canning, anda dapat melihat seluruh kawasan bandar utama di Singapura seperti Raffles Place, Esplanade, Clarke Quay dan sebahagian Chinatown.

Sejak zaman dahulu kala lagi, lokasi bukit ini amat strategik. Ia berhampiran dengan muara Sungai Singapura, mempunyai sumber air yang berterusan melalui Sungai Singapura yang mengalir berhampiran di sebelah barat bukit dan yang penting sekali, ia memberikan seseorang pemandangan yang jelas ke seluruh kawasan di muara Sungai Singapura.

Siapa yang dapat menguasai Bukit Fort Canning ertinya dia dapat menguasai Temasik kerana hanya Sungai Singapura sahaja merupakan laluan utama masuk ke pulau ini pada masa dahulu.

Tidak hairanlah, jika Sri Tri Buana, Raja Melayu pertama di Temasik, memilih lokasi Bukit Fort Canning ini sebagai pusat pemerintahannya 700 tahun dahulu. Di puncak dan lereng Bukit Fort Canning telah dibina istana dan segala macam bentuk struktur bagi menyokong sebuah penempatan di-raja di sini.

DSCN1475

Raja Melayu Pertama

Sri Tri Buana adalah Raja Palembang yang datang ke Temasik dari Bentan sekitar tahun 1299 – 1300. Ada riwayat yang mengatakan nama sebenarnya ialah Sang Nila Utama. Nama Sri Tri Buana sangat sinonim dengan Bukit Fort Canning kerana bermula dari beliaulah, Bukit Fort Canning ini dikenali dan menjadi masyhur sehingga kini. Kedatangannya ke Temasik mengukuhkan kedudukan Temasik sebagai sebuah negara yang gagah di rantau ini pada waktu itu.

Menurut riwayat Sejarah Melayu, Sri Tri Buana merupakan salah seorang dari tiga pemuda yang muncul di puncak Bukit Siguntang Mahameru, Palembang setelah berlaku peristiwa pancaran cahaya pada malamnya. Kemunculan mereka bertiga berlaku pada waktu yang sama padi di atas bukit itu bertukar menjadi emas. Ada riwayat yang mengatakan merekalah yang menukar padi menjadi emas. Ketiga-tiga mereka mengakui berasal dari keturunan Iskandar Zulkarnain (Alexander the Great). Ekoran dari peristiwa itu, cahaya, emas dan bukit menjadi simbol kedaulatan di dalam budaya raja-raja Melayu zaman silam.

Raja Palembang pada waktu itu, Demang Lebar Daun, datang bertemu dengan ketiga-tiga pemuda itu. Hanya Sri Tri Buana kemudiannya menetap di Palembang sementara seorang pemuda yang lain ditabalkan menjadi Raja di Minangkabau dan seorang lagi Raja di Tanjung Pura.

Oleh kerana terlalu hormatkan Sri Tri Buana, Demang Lebar Daun menyerahkan kuasanya kepada Sri Tri Buana. Maka beliau menjadi Raja Palembang yang baru sementara Demang Lebar Daun menjadi Ketua Menteri. Menurut kepercayaannya, semua raja-raja Melayu mempunyai kaitan asal-usul hingga ke Sri Tri Buana.

Beberapa tahun kemudian, Sri Tri Buana dan Demang Lebar Daun berangkat ke Bentan. Di Bentan, mereka berdua bertemu dengan seorang permaisuri yang menguasai kerajaan Bentan. Permaisuri yang bernama Sakidar Syah (atau ada riwayat yang menamakan beliau sebagai Wan Seri Benian) kemudiannya mengambil Sri Tri Buana sebagai anak angkatnya dan menjadikannya putera mahkota kerajaan di Bentan.

Pada satu hari, Sri Tri Buana sedang memburu di satu kawasan yang bernama Tanjung Bemian. Beliau ternampak sebuah pulau yang berdekatan, yang pantainya putih laksana sehelai kain putih bersih. Salah seorang menterinya, Indra Bopal, memberitahu bahawa pulau itu bernama Temasik. Beliau teringin benar untuk ke sana. Maka berangkatlah rombongan Sri Tri Buana bersama Demang Lebar Daun ke Temasik.

Namun, perlayaran mereka tidak seindah pulau yang ingin dituju. Tanpa diduga, semasa dalam perlayaran, berlaku ribut angin kencang dan hampir menenggelamkan kapal yang mereka naiki. Semua barang-barang di atas kapal dibuang ke luar dengan harapan supaya kapal tidak tenggelam. Tetapi angin kencang tetap mengancam keselamatan perlayaran mereka. Dalam keadaan yang gawat itu, salah seorang pegawainya mencadangkan agar Sri Tri Buana mencampakkan mahkotanya ke dalam laut. Tanpa berlengah, beliau mencampakkan mahkotanya ke dalam laut. Tiba-tiba, angin kencang terus malap dan keadaan menjadi sediakala. Lalu, selamatlah rombongan itu sampai ke Temasik.

Sri Tri Buana tertarik hati dengan pulau yang baru ditemuinya iaitu Temasik. Lantas, dia memerintahkan pegawainya supaya memberitahu orang-orang di Bentan bahawa beliau tidak akan kembali ke Bentan tetapi mahu mengasaskan sebuah kawasan baru di Temasik.

Ternyata keputusan Sri Tri Buana itu merupakan titik permulaan kegemilangan kerajaan Melayu di Temasik. Kerajaan Melayu di Temasik yang bermula dari Sri Tri Buana berpengkalan di Bukit Fort Canning selama lima keturunan dari tahun 1299 hingga 1397.

Setelah 48 tahun bertakhta, Sri Tri Buana mangkat dan dipercayai disemadikan di Bukit Fort Canning. Demang Lebar Daun juga mangkat tidak lama kemudian dan dipercayai disemadikan di Bukit Fort Canning.

Kerajaan Sri Tri Buana diwarisi oleh anaknya Sri Pikrama Wira yang terus menyambung warisan bapanya untuk menjadikan Temasik terkenal dan dapat menarik ramai pedagang dari berbagai negara.

Selepas beliau, kerajaan Temasik disambung oleh Sri Rana Wikerma, kemudiannya oleh Paduka Sri Maharaja dan akhirnya oleh Sultan Iskandar Syah atau yang juga dikenali sebagai Parameswara.

Melalui susur sejarah ini, dapat kita fahami betapa besar peranan Bukit Fort Canning sekitar 700 tahun yang lampau. Ia merupakan pusat kerajaan Melayu Temasik selama satu abad dan ia juga tempat bersemadinya Sri Tri Buana dan Demang Lebar Daun yang berperanan menghidupkan kembali kegemilangan negara Temasik.

Setelah berakhirnya kerajaan keturunan Sri Tri Buana pada penghujung abad ke-14, bukti-bukti sejarah yang menggambarkan peranan Bukit Fort Canning di abad ke-16 dan 17 tidak banyak yang ditemui.

Apabila pihak British yang diketuai oleh Sir Stamford Raffles tiba di Singapura pada tahun 1819, barulah Bukit Fort Canning kembali menjadi satu kawasan yang penting dan utama.

Pada tahun 1823, Raffles mendirikan kediamannya di Bukit Fort Canning dan sebuah kebun bunga seluas 19 hektar juga diasaskan oleh Raffles. Setelah Raffles meninggalkan Singapura, kediamannya dirobohkan pada tahun 1859 untuk memberi laluan kepada pembinaan sebuah kubu tentera oleh pihak British.

Hampir 100 tahun angkatan tentera British menduduki kawasan Bukit Fort Canning sehinggalah apabila tentera Jepun menakluki Singapura pada tahun 1942. Bukit Fort Canning sekali lagi bertukar tangan dikuasai oleh tentera Jepun sehingga tamat Perang Dunia Kedua.

DSCN1479

Peninggalan sejarah ditemui

Dalam catatan sejarah, ada diceritakan bahawa setelah British menduduki Singapura, John Crawford, Residen Kedua Singapura, merakamkan pemerhatiannya semasa meninjau-ninjau di sekitar Bukit Fort Canning pada tahun 1822.

Menurutnya, di sebelah utara dan timur Bukit Fort Canning, terdapat banyak serpihan-serpihan tembikar serta pinggan mangkuk dari negeri Cina dan duit-duit tembaga Cina abad ke-10 and ke-11.

Di sebelah selatan pula, Crawford mendapati satu kawasan seperti taman atau kebun buah-buahan yang jenisnya bukan seperti jenis buah-buahan yang biasa pada waktu itu. Penemuan ini menggambarkan mungkin wujudnya sebuah kebun atau taman buah-buahan pada satu masa dahulu di sana.

Banyak hasil kajian pakar sejarah yang mengatakan kebun atau kawasan tanaman buah-buahan merupakan satu ciri yang mesti ada dalam sesebuah istana raja Indonesia pada zaman silam. Dan tradisi membina kawasan kebun yang luas di dalam istana masih boleh disaksikan pada zaman ini di tempat-tempat seperti Cirebon, Surakarta dan Bali.

Namun, satu-satunya penemuan Crawford yang sangat menarik pada tahun 1822 itu ialah apabila beliau menjumpai sebuah struktur kayu yang sangat usang dan hampir roboh berdekatan dengan puncak Bukit Fort Canning. Ia mempunyai ciri-ciri sebuah struktur yang terdapat pada seni bina Indonesia zaman silam. Mungkingkah ianya sebahagian dari istana atau sebuah balai untuk rakyat berkumpul. Hali ini tidak dapat dipastikan kerana semua struktur itu sudah tidak wujud lagi untuk kajian di zaman ini.

Di sebelah barat Bukit ini pula dipercayai pernah wujud sebuah tempat permandian di-raja yang pada tahun 1819 dipanggil sebagai Pancur Larangan. Airnya bersumber dari sumur yang berada di kawasan itu. Kawasan permandian seperti ini biasanya terdapat di dalam istana zaman dahulu di Indonesia. Disekelilingnya biasanya dihiasi dengan perhiasan dan ukiran yang indah. Besar kemungkinan ia digunakan pada abad ke-14 dahulu. Di dalam kitab Hikayat Abdullah yang ditulis oleh Abdullah Munsyi ada dinyatakan mengenai wujudnya sebuah Sungai Larangan di Bukit Fort Canning.

Sehingga tahun 1830, sumur itu masih menghasilkan air minum untuk bekalan kapal-kapal yang singgah di Singapura. Namun beberapa tahun kemudian, beberapa buah perigi telah digali di kaki Bukit Fort Canning sehingga menyebabkan bekalan air dari sumur itu kering buat selama-lamanya.

Misteri Keramat

Salah satu kesan peninggalan sejarah Melayu yang terdapat di Bukit Fort Canning ialah wujudnya Makam Iskandar Syah. Inilah satu-satunya peninggalan sejarah abad ke-14 yang masih wujud sehingga hari ini. Ia dipercayai ditemui sekitar tahun 1822. Dan sejak itu, ia menjadi tempat ziarah mahupun tempat pemujaan. Tetapi apabila pihak kerajaan Singapura mengambil alih pengurusan Bukit Fort Canning, kegiatan pemujaan dan penyembahan dilarang di sana.

Iskandar Syah merupakan raja Melayu yang kelima dan terakhir dari keturunan Sri Tri Buana yang bertahkta di Temasek selama tiga tahun. Namun, ada riwayat yang mengatakan beliau melarikan diri dari Sumatra dan merampas kuasa di Temasik.

Apabila Temasik diserang oleh tentera Siam, Iskandar Syah melarikan diri ke Muar dan kemuadiannya ke Melaka. Di Melaka, beliau mengasaskan Melaka, sekaligus menjadikan Melaka sebuah negara yang makmur dan gagah di bawah pemerintahannya selama 20 tahun. Catatan sejarah Cina menyatakan Iskandar Syah mangkat pada tahun 1420, tetapi tidak disebut nama tempat di mana beliau mangkat. Ada juga yang mengatakan beliau mangkat pada tahun 1412.

Oleh kerana itu, Makam Iskandar Syah di Bukit Fort Canning ini masih menjadi tanda tanya, apakah Iskandar Syah benar-benar bersemadi di sini, sedangkan beliau pada masa itu adalah pengasas negeri Melaka dan sudah tentu akan tinggal di sana. Atau ianya adalah Sri Tri Buana yang dipercayai dikebumikan di Bukit Fort Canning? Persoalannya lagi ialah Sri Tri Buana dipercayai beragama Hindu. Dan amalan orang-orang di abad ke-14 ialah tidak mengebumikan mayat tetapi membakar mayat sehingga menjadi abu. Ataupun, mungkin di tapak Makam Iskandar Syah asalnya merupakan tempat penyembahan atau pemujaan, bukan kubur sesiapa. Hal ini masih belum dapat dipastikan oleh pakar sejarah.

Bukit yang dilarang

Bukit Fort Canning bukanlah nama asal kawasan ini. Ia mendapat berbagai gelaran sepanjang sejarahnya. Tetapi, di zaman Sri Tri Buana, tidak pula diketahui apakah panggilan khusus yang diberikan kepada kawasan berbukit ini.

Apabila British tiba di Singapura pada tahun 1819, para penduduk di Singapura menggelarkan kawasan berbukit in sebagai Bukit Larangan. Di dalam kitab Hikayat Abdullah, ada diceritakan tentang perbualan di antara Temenggong Abdul Rahman (Temenggong Singapura waktu itu) dengan Kolonel Farquhar (Wakil Raffles di Singapura) mengenai Bukit Larangan itu. Menurut Temenggong, kawasan itu digelar Bukit Larangan kerana di sana pernah wujud satu kawasan istana raja yang mana rakyat jelata dilarang masuk ke kawasan itu.

Ada juga riwayat yang mengatakan kawasan Bukit Larangan itu berhantu dan tidak ada orang yang boleh naik ke Bukit Larangan melainkan mendapat izin dari Temenggong. Sebab itu, apabila rombongan British mahu mendaki Bukit Larangan itu, kesemua penduduk tempatan yang bersama rombongan British enggan naik ke Bukit Larangan.

Setelah British menduduki Singapura, Bukit Larangan itu menjadi tempat kediaman Raffles dan dinamakan sebagai Government Hill. Pada tahun 1860, kawasan kediaman Raffles itu telah diratakan dan dibina sebuah kubu tentera (fort) British. Sekali lagi, nama Government Hill itu ditukar ke Fort Canning Hill. Nama Canning itu dipercayai sempena nama George Canning, Gabenor British di India.

Bukit Fort Canning kini sudah diubah suai menjadi sebuah taman yang indah. Walau begitu, kesan sejarahnya masih dikekalkan. Terdapat satu laluan yang dipanggil 14th Century Walk yang membawa pengunjung menyusuri sejarah abad ke-14 melalui penjelasan di papan tanda dan beberapa tapak pameran.

Pada tahun 1984, satu kajian sejarah telah dilakukan di beberapa kawasan di Fort Canning. Hasil dari usaha ini, sebanyak 30,000 barang-barang dari abad ke-14 telah dapat digali. Barang-barang itu termasuk, tembikar, pinggan mangkuk, duit-duit lama dan lain-lain lagi. Kebanyakan barang-barang yang ditemui berasal dari China, Thailand dan juga barang tempatan.

Penemuan barang-barang bersejarah yang selama ini terkubur di Fort Canning semenjak 700 tahun yang lalu menguatkan hujah bahawa satu masa dahulu pernah wujud di Bukit Fort Canning sebuah singgahsana di-raja Melayu dan sekaligus mengembangkan peranan Temasik sebagai sebuah pusat perdagangan serantau yang makmur.

Para pakar sejarah menyakini Bukit Fort Canning masih menyimpan satu khazanah sejarah yang lumayan mengenai sejarah kerajaan Melayu abad ke-14 dan juga sejarah awal Singapura. Banyak kawasan di Bukit Fort Canning yang masih belum lagi digali dan dikaji untuk mencungkil kesan-kesan sejarah yang bersemadi di dalamnya. Malah, di kawasan sekitar Bukit Fort Canning, seperti tebing Sungai Singapura dan Empress Place, dipercayai masih banyak menyimpan khazanah sejarah yang hanya menanti untuk dibongkar.

Kewujudan kerajaan Melayu abad ke-14 di Temasik bukan sahaja dikisahkan dalam kitab Sejarah Melayu, tetapi ia juga ada dicatatkan oleh seorang pengembara Cina bernama Wang Dayuan sekitar tahun 1349, ada juga disebut dalam sebuah sajak Jawa abad ke-14 yang dipanggil Desawarnana bahawa Temasik sebagai negeri di bawah kerajaan Majapahit dan juga catatan hasil dari pemerhatian John Crawford pada tahun 1822.

Malah, Raffles yang datang ke Singapura 500 tahun kemudian memberi penghormatan kepada raja-raja yang pernah bertakhta di Bukit Fort Canning apabila beliau pernah berpesan, “…jika saya mati di sana (Singapura), jasad saya akan mendapat perhormatan bersemadi bersama dengan jasad/abu raja-raja Melayu.”

Tag: , , , ,

Raden Mas: Lambang Wanita Suci

No Comments »

Oleh: Rudy Herman Sinen
Disiarkan di: Majalah Sarina (Karangkraf), August 2004. In PDF (2.4MB)

Suasana di balai istana sungguh meriah. Ratu Kediri dan saudara kandungnya, Raden Kesumo Joyo Diningrat (Pangeran Agung) tersenyum sambil mendengar Mas Ayu mendodoikan puterinya yang baru dilahirkan.

Raden Seri Diningrat
nama sejati puteri darah Ningrat
tapi nanti Raden Mas panggilannya
tanda puteri arif bijaksana

Raden Mas puteri mahkota
cantiknya bagaikan purnama
Raden Mas cantik tak terperi
permata di istana Puri

Itulah sebahagian dari senikata lagu mengenai Raden Mas di dalam filem yang bertajuk Raden Mas. Senikata lagu itu menggambarkan watak dan peribadi Raden Mas sebagai seorang yang ayu dan bijaksana. Kelahirannya membawa cahaya laksana permata di Istana Puri, tampuk Kerajaan Kediri di Jawa. Seluruh rakyat meraikan kelahiran anak sulung Pangeran Agung yang mereka kasihi.

Kelahiran Raden Mas Ayu penuh dengan keriangan dan harapan, namun, tanpa disangka, kehidupan seterusnya penuh dengan dugaan dan ujian. Lahirnya di Tanah Jawa tetapi akhir hidupnya di Temasek yang ribuan kilometer jauhnya. Membawa diri dari Kediri tetapi masih diingati sehingga kini.


View Larger Map

Nama Raden Mas sangat terkenal di kalangan masyarakat di rumpun Melayu ini. Tanyakan sahaja kepada orang-orang di Malaysia, Singapura dan Indonesia mengenai nama Raden Mas, sudah tentu mereka tahu atau paling tidak, pernah mendengar cerita dari orang tua-tua. Malah, pernah ada serombongan pelancong dari London yang datang ke Makam Raden Mas setelah diberitahu akan kewujudan Makam itu di Singapura.

Ada yang mengatakan ia hanya satu lagenda atau cerita yang direka oleh orang dahulu kala. Mungkin ya atau mungkin tidak. Ini disebabkan tidak banyak fakta sejarah yang kukuh yang dapat mendukung kisah Raden Mas ini. Dalam sejarah Melayu juga mungkin tidak ada diperkatakan mengenai Raden Mas ini secara terperinci.

Namun, yang pasti, ramai tahu bahawa ada sebuah kuburan di Singapura yang terletak di Telok Blangah dikenali sebagai Makam Raden Mas. Hanya inilah satu-satunya bukti nyata mengenai kewujudan seorang puteri raja dari Tanah Jawa bergelar Raden Mas di Temasek.

DSCN1251

Terpencil tapi masyhur
Makam Raden Mas terletak di kaki bukit Mount Faber di kawasan Telok Blangah. Ia hanya kira-kira 15 minit memandu dari Stesen Keretapi KTMB Tanjong Pagar. Kawasannya di luar kawasan bandar dan perumahan. Ia terpencil dan dikelilingi dengan pokok-pokok tinggi.

Sungguhpun lokasinya terpencil, namanya tersohor dari zaman berzaman di seluruh pelusuk rumpun Melayu. Malah, nama Raden Mas diabadikan di beberapa tempat di Singapura. Sebagai contoh, ada sebuah kawasan undi (constituency) di tempat Makam Raden Mas yang dipanggil Radin Mas Constituency, sebuah sekolah yang dinamakan Radin Mas Primary School, sebuah masjid Masjid Radin Mas (sudah dirobohkan) serta sebuah kelab masyarakat Radin Mas Community Club.

Begitu terkenalnya nama Raden Mas, tetapi siapakah sebenarnya puteri raja ini, bagaimana pula seorang puteri dari Jawa boleh sampai ke Pulau Temasek yang ribuan kilometer jauhnya dan apakah keistimewaannya sehingga makamnya wujud sehingga hari ini? Inilah persoalan yang sukar dicari jawapannya kerana tidak ada sumber asli yang dapat dijadikan sandaran kukuh mengenai kisah Raden Mas ini.

Jika anda bertanya kepada sesiapa pun, pasti anda akan dapat beberapa versi cerita yang berlainan mengenainya. Tarikhnya juga sukar dipastikan. Cuma yang pasti, dia hidup di zaman lebih awal dari zaman Raffles, semasa zaman kesultanan Melayu iaitu di masa masih wujudnya kesultanan di Jawa, Karimun dan Temasek.

Apa yang boleh dirumuskan ialah terdapat dua versi cerita yang selalunya diperkatakan orang. Di sini, kami akan perkatakan kedua-dua versi cerita itu, terpulanglah kepada anda untuk menilai dan membuat rumusan sendiri.

Raden Mas di layar perak
Versi pertama mengenai kisah Raden Mas ialah melalui sebuah karya filem yang diterbitkan oleh Cathay Keris pada tahun 1959. Filem itu bertajuk Raden Mas yang dibintangi oleh M Amin, Latifah Omar, Nordin Ahmad, Siput Sarawak, Mahmood June, Siti Tanjung Perak serta Shariff Medan. Filem ini pernah mendapat tayangan perdana semasa 7th Asian Film Festival pada tahun 1960 di Tokyo.

Kisah dalam filem itu bermula dengan babak yang menunjukkan Pangeran Agung di Negeri Kediri, Jawa terpikat dengan seorang penari istana, Mas Ayu, lalu mengahwininya secara rahsia. Apabila diketahui mengenai perkahwinan itu, Ratu Kediri (yang juga saudara kandung Pangeran Agung) dan Permaisuri Kediri sangat murka. Mereka murka kerana Pangeran Agung sudah merendahkan martabat keturunan darah raja Diningrat dengan mengahwini seorang penari istana.

Namun, mereka tidak boleh berbuat apa-apa kerana Pangeran Agung tetap dengan pendiriannya. Apabila isteri Pangeran Agung melahirkan seorang puteri, puteri itu diberi gelaran Raden Mas.

DSCN1286

Sumpah Pangeran
Sejak itu, Permaisuri serta Raden Wanosekoro, salah seorang pembesar istana yang pernah menggoda Mas Ayu, berdendam dengannya. Satu hari, Permaisuri Kediri bersubahat dengan Raden Wanosekoro untuk membunuh Mas Ayu. Tetapi mereka mesti membuat sebab supaya Pangeran Agung tidak ada di istana. Maka Pangeran Agung diperintahkan untuk pergi memburu kijang kerana kononnya Permaisuri ingin makan daging kijang. Semasa Pangeran Agung keluar memburu bersama rombongannya, Raden Wanosekoro mengamuk dan membakar rumah Pangeran Agung. Dia juga menikam Mas Ayu sehingga mati.

Pangeran Agung sangat terperanjat melihat rumahnya dijlat api. Dia terus masuk ke biliknya untuk menyelamatkan Raden Mas dan isterinya. Mujur, Raden Mas tidak apa-apa tetapi Mas Ayu sempat memberitahu Pangeran Agung mengenai angkara Raden Wanosekoro sebelum dia menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Setelah bertarung satu lawan satu dengan Raden Wanosekoro, akhirnya Raden Wanosekoro yang busuk hati itu tewas dibunuh oleh Pangeran Agung. Pangeran Agung sangat sedih dengan apa yang berlaku dan menganggap beliau telah dikhianati oleh kerabatnya sendiri.

Beliau membuat keputusan untuk meninggalkan Kediri bersama Raden Mas buat selama-lamanya. Walaupun dipujuk oleh Dandiar, Ketua Angkatan Perajurit Kediri, Pangeran Agung tetap mahu membawa diri. Beliau bersumpah, “pasir yang melekat di kakiku, aku haramkan (ikut bersamaku)”. Dan Pangeran Agung juga membuang segala identiti di-rajanya dan hanya mahu dikenali sebagai orang biasa.

Pangeran Agung merantau dari satu kawasan ke satu kawasan. Akhirnya, beliau sampai di Karimun dan menetap di sana selama 15 tahun. Sehingga waktu itu, penduduk di sana hanya mengenalinya sebagai orang biasa.

Raden Mas pun sudah berusia 15 tahun tetapi masih tidak diberitahu akan asal-usul darah rajanya. Apabila Sultan di Karimun mendapat tahu siapakah Pangeran Agung yang sebenarnya, dia mencalonkan anaknya, Tengku Halijah, sebagai isteri Pangeran Agung.

Pada awalnya, Pangeran Agung tidak mahu kahwin lagi kerana dia mahu memberi perhatian secukupnya kepada Raden Mas. Dalam masa yang sama, dia juga sedar Raden Mas juga perlukan kasih-sayang seorang ibu.

Lalu kahwinlah mereka dan Raden Mas pun mendapat seorang ibu tiri. Tidak lama kemudian, Tengku Halijah pun melahirkan seorang putera yang diberi nama Tengku Chik.

DSCN1263


Berpindah ke Temasek

Satu hari, Sultan memerintahkan agar Pangeran Agung berpindah ke Temasek. Baginda Sultan, Pangeran Agung, Tengku Halijah, Raden Mas, Tengku Chik dan rombongan Sultan pun berangkat ke Temasek.

Namun, kebahagiaan dan kasih sayang ibu yang diharapkan tidak dapat dikecapi oleh Raden Mas. Rupanya, Tengku Halijah sangat bencikan Raden Mas. Dia cemburukan perhatian yang Pangeran Agung curahkan kepada Raden Mas melebihi kepada dirinya.

Lalu, Raden Mas menjadi mangsa dendam Tengku Halijah. Dia dimarahi, dicaci dan dipukul serta disuruh membuat kerja-kerja berat oleh Tengku Halijah. Semua ini dilakukan tanpa pengetahuan Pangeran Agung. Lama-kelamaan, dendam kesumat Tengku Halijah tidak dapat dikawalnya sehinggalah dia sendiri memfitnah Pangeran Agung mahu membunuh Tengku Chik. Tanpa usul periksa, Sultan mempercayai tuduhan itu dan memenjarakan Pangeran Agung di dalam sebuah perigi buta.

Nasib Raden Mas bak jatuh ditimpa tangga. Sudahlah dia tidak tahu di mana bapanya menghilang, dia semakin disiksa oleh ibu tirinya. Sultan pula menitahkan agar Raden Mas dikahwinakan kepada Tengku Bagus, adik Tengku Halijah. Raden Mas terpaksa menurut perintah Sultan walaupun dia tidak menyukai Tengku Bagus.

Di hari pernikahannya, rombongan Pangeran Agung dari Kediri, yang diketuai oleh Dandiar, juga tiba. Apabila Imam bertanya di manakah Pangeran Agung supaya pernikahan dapat dijalankan, barulah Tengku Chik membuka rahsia bahawa Pangeran Agung dipenjarakan di dalam perigi buta.
Semua yang hadir terperanjat mendengar berita itu. Dengan marah, Dandiar bersemuka dengan Sultan dan mengugut akan menuntut bela. Lantas, dia meminta Tengku Chik untuk membawanya ke tempat Pangeran Agung.

Raden Mas amat terperanjat besar apabila melihat Pangeran Agung dipapah oleh Dandiar masuk ke istana. Keadaan Pangeran Agung sangat lemah dan hampir mati. Dalam keadaan begitu, Raden Mas tetap sabar dan memujuk ibu tirinya, Tengku Halijah, supaya minta maaf dari Pangeran Agung. Tengku Halijah tetap berdegil dan dengan angkuh, Tengku Halijah bergegas meninggalkan balai istana.

Raden Mas mengejar Tengku Halijah dan merayu agar dia meminta maaf dari Pangeran Agung. Tengku Halijah menolak Raden Mas. Malangnya, Raden Mas jatuh dan mati akibat tercucuk sanggul di kepala.

Sedang Tengku Halijah meninggalkan balai istana, tiba-tiba, bunyi berdentum dan petir menyambar Tengku Halijah. Dia rebah dan mati di pintu balai istana. Tidak lama kemudian, Pangeran Agung pun meninggal dunia.

Huru-hara di istana
Dandiar lantas mengamuk untuk menuntut bela atas kematian Pangeran Agung. Terjadilah huru-hara di istana. Dandiar bertarung dengan Tengku Bagus. Akhirnya, Tengku Bagus tewas dan ditangkap.

Keadaan menjadi semakin cemas kerana Dandiar mahu membakar istana. Tiba-tiba, Tengku Chik keluar dari istana lalu bertanyakan Dandiar kepada siapakah dia harus ikut jika Ninda Sultannya dibunuh. Mendengarkan kata-kata Tengku Chik yang bijaksana itu, Dandiar menjadi lembut hati.

Sultan meminta maaf dan menyesal atas apa yang berlaku. Dandiar juga bersetuju berdamai tetapi dengan bersyarat. Dandiar mahukan Sultan berjanji untuk mengebumikan jenazah Pangeran Agung dan Raden Mas dengan pengebumian di-raja serta menabalkan Tengku Chik menjadi Sultan Karimun apabila sudah sampai usianya.

Begitulah kisah kehidupan Raden Mas yang dipaparkan melalui filem Raden Mas. Filem ini menyusuri kehidupan Pangeran Agung di Kediri, sehinggalah beliau berpindah ke Temasek, menemui ajalnya serta semasa huru-hara yang mengakibatkan pertumpahan darah di istana.

Jika kisah dari karya filem ini boleh dijadikan sandaran sejarah, ada kemungkinan Makam Raden Mas diingati pada waktu itu kerana beliau adalah puteri raja dari luar negeri Temasek yang mangkat di Temasek serta diberikan pengebumian di-raja. Tambahan lagi, Makam Raden Mas mengingatkan mereka akan peristiwa hitam yang berlaku di istana.

Namun, banyak lagi persoalan yang masih menjadi tanda-tanya. Di antaranya, di mana pula kubur Pangeran Agung kerana logiknya beliau disemadikan bersebelahan dengan Raden Mas? Dan mengapa pula beliau tidak diingati sepertimana anakandanya?

Versi kedua
Versi kedua kisah Raden Mas ada sedikit kelainan dari filem tersebut. Kisahnya seperti berikut:

Pada zaman dahulu di Tanah Jawa, tinggal seorang Sultan bersama adiknya yang bernama Pangeran Adipati Agung. Pangeran, seorang yang berani dan gagah, disukai oleh rakyat jelata.

Pada suatu hari semasa majlis keramaian di istana, Pangeran terpikat dengan seorang penari istana yang cantik. Beliau mahu berkahwin dengan penari itu tetapi tidak dipersetujui oleh abangnya. Abangnya menganggap si penari itu hanya orang kebanyakan dan tidak setaraf dengan mereka. Namun, Pangeran tetap dengan keputusannya untuk berkahwin dengan wanita penari itu. Perkahwinan mereka menghasilkan seorang puteri yang jelita. Puteri itu diberi nama Raden Mas Ayu.

Apabila Sultan mengetahui mengenai perkahwinan itu, baginda murka lantas merancang untuk memutuskan perhubungan mereka. Baginda menitahkan agar adiknya dihantar ke medan perang di luar negara. Semasa ketiadaan Pangeran, baginda mengarahkan agar rumahnya dibakar. Isteri Pangeran mati dalam kebakaran itu tetapi Raden Mas sempat diselamatkan oleh seorang pengikut setia Pangeran.

Alangkah terkejutnya Pangeran bila mendapat tahu akan angkara Sultan. Dengan perasaan sedih atas kematian isterinya dan benci terhadap Sultan, beliau bersama Raden Mas lari meninggalkan Jawa menuju ke Temasek.

Diserang lanun
Pangeran Adipati menetap di kawasan Telok Blangah. Mereka tinggal dengan aman sehinggalah pada satu hari perkampungan mereka diserang sekumpulan lanun. Pangeran menentang lanun-lanun dengan tangkas dan berani. Akhirnya, lanun-lanun dapat ditumpaskan. Oleh sebab ketangkasannya, Pangeran dianggap wira.

Sultan Singapura gembira dan menjemput Pangeran menghadapnya di istana. Apabila Sultan mendapat tahu asal-usul sebenar Pangeran, baginda bercadang mengahwinkan Pangeran dengan anak perempuannya. Pangeran menerima pelawaan Sultan kerana memikirkan inilah peluang untuk Raden Mas mendapat kasih sayang seorang ibu.

Pangeran Adipati dikurniakan seorang putera, Tengku Chik. Malangnya, perkahwinan mereka tidak mencapai kebahagiaan kerana isteri Pangeran cemburu dengan perhatian yang diberikan oleh Pangeran kepada Raden Mas. Perasaan cemburu itu menghantui dirinya sehingga isteri Pangeran merancang untuk membunuh Pangeran dan Raden Mas.

Isteri Pangeran meminta bantuan anak saudaranya, Tengku Bagus. Tengku Bagus memang ingin memperisterikan Raden Mas. Tetapi Raden Mas tidak menyukainya kerana sifat buruknya. Tengku Bagus mengatur langkah untuk menipu Pangeran. Akhirnya, Pangeran termakan dengan tipu muslihat Tengku Bagus sehinggalah beliau dipenjarakan dalam sebuah perigi buta.

Bagi isteri Pangeran, inilah peluang baginya untuk memaksa Raden Mas mengahwini Tengku Bagus. Oleh kerana, Raden Mas memikirkan akan keselamatan bapanya, dia pun terpaksa bersetuju berkahwin dengan Tengku Bagus.

Bapa sudah mati
Pada hari pernikahan, Imam bertanya kepada Raden Mas jika dia sudah meminta izin dari bapanya untuk berkahwin. Oleh kerana takut bapanya dibunuh, Raden Mas berbohong dan mengatakan bapanya sudah mati. Tiba-tiba, Tengku Chik memecahkan rahsia di mana Pangeran dipenjarakan.

Setelah rahsia terbongkar, Pangeran dengan cepat diselamatkan dari meringkuk di dalam perigi buta. Tengku Bagus yang jahat itu hendak membunuh Pangeran dengan keris. Malangnya, keris itu menikam Raden Mas pula. Raden Mas meninggal di dalam dakapan bapanya.

Lantas, Tengku Bagus ditangkap oleh pengawal. Isteri Pangeran ketakutan dan hendak melarikan diri. Tiba-tiba, langit menjadi mendung dan petir menyambar isteri Pangeran yang sombong itu.

Peribadi Raden Mas
Berdasarkan kedua-dua versi cerita ini, dapatlah kita rumuskan bahawa Raden Mas ialah:

? seorang yang berdarah raja
? seorang anak yatim
? sangat taat kepada bapanya
? seorang wanita suci yang tahu menjaga kehormatan diri
? seorang yang sabar dan berhati mulia

Sifat merendah dirinya juga terserlah walaupun dia baru mendapat tahu akan keturunan di-rajanya, dia tetap tidak meninggi diri.

Walaupun ketepatan kedua-dua kisah ini tidak dapat dipastikan dengan fakta sejarah yang diakui, namun yang lebih penting ialah pengajaran yang dapat kita jadikan teladan. Kata pepatah, “harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.”

Raden Mas merupakan lambang seorang wanita yang suci, taat dan berbudi. Betapa zalim ibu tirinya menyiksanya, dia tetap mahukan ibu tirinya meminta maaf kepada bapanya. Begitu juga, ketaatan kepada bapanya tidak luntur sehingga ke akhir hayat.

Kisah Raden Mas wajar dijadikan teladan warisan kerana hati budinya yang luhur dan yang tidak lupa diri walau dirinya seorang puteri raja. Mungkin, kerana sifat mulianya itu membuat orang-orang yang mengenalinya terasa benar akan kehilangannya. Lantas, memberikan perhatian yang istimewa ke atas kuburannya. Tradisi itu kemudian menjadi warisan turun-temurun sehinggalah nama Raden Mas tetap dikenang sampai hari ini.

Menjaga Makam Satu Anugerah

Raden Mas Ayu disemadikan di kaki bukit Mount Faber di kawasan Telok Blangah. Walaupun di kaki bukit, makam ini, seperti Makam Habib Nuh, terletak di atas sebuah tanah tinggi. Tetapi berbeza dari Makam Habib Nuh yang berada di dalam kawasan bandar, Makam Raden Mas berada di satu kawasan di hujung estet perumahan Telok Blangah. Kawasan sekelilingnya jauh dari kesibukan manusia. Makam itu sendiri dikelilingi oleh kawasan pokok-pokok tebal dan beberapa buah rumah privet.

Dalam filem Raden Mas yang diterbitkan pada tahun 1959, ada ditunjukkan keadaan makam ini pada waktu itu. Makam ini “dikawal” oleh 4 batang pokok di empat penjurunya. Dahan-dahan pokok itu sambung-menyambung di antara satu sama lain. Keadaannya seolah-olah melindungi makam ini. Pernah juga dibina satu struktur batu-bata lengkap dengan atap untuk melindungi makam ini.

Tidak dapat diketahui, jika makam ini pernah ada orang yang menjaga dan membersihkannya. Kalau Makam Habib Nuh dijaga dan dibaik-pulih, Makam Raden Mas terbiar dan tidak terurus sejak sekian lama.

Walaupun masih ada orang yang datang menziarahi Makam Raden Mas, tetapi tidak ada seorang pun yang ambil peduli mengenai keadaan sekitaran makam ini. Keadaan sekitarannya sangat usang, bersemak dan tidak selayaknya untuk sebuah makam. Malah, kawasan makam ini pernah dijadikan tempat menuntut ilmu batin yang karut-marut, tempat bermain muzik, berjudi dan entah apa kegiatan songsang lagi.

Hati mula terpaut
Di antara pelawat yang datang ke Makam Raden Mas ialah Encik Zainudin Atan. Beliau menziarahi makam ini sekali lagi kira-kira 4 tahun yang lalu setelah hatinya tergerak untuk ke sana. Kali terakhir beliau menziarahi makam ini ialah 20 tahun yang lalu.

Alangkah sedihnya hati Encik Zainudin Atan atau lebih dikenali sebagai Pak Daeng, 54 tahun, apabila beliau melihat keadaan Makam Raden Mas yang sangat daif. Beliau terkenang, “Bila saya naik (ke makam), keadaan sungguh menyedihkan. Lalang tumbuh tinggi dan terbiar. Anak tangganya sudah pecah-pecah.”

Tetapi, tidak seperti pelawat yang lain, hati Pak Daeng mula terpaut pada Makam Raden Mas itu. Beliau kembali semula ke sana sebulan kemudian. Keadaan makam tidak ada perubahan. Lalu hatinya terdorong untuk membersihkan kawasan makam itu. Beliau meminta persetujuan dan pandangan dari Habib Hassan (Imam Masjid Baalawi), Majlis Ugama Islam Singapura dan seorang Anggota Parlimen untuk membersihkan kawasan Makam itu.

Setelah semua pihak tidak membantah, beliau pun memulakan usaha untuk membersihkan sekitaran makam secara beransur-ansur. Namun, usaha itu bukan mudah. Banyak cabaran dan masalah yang perlu diatasinya terlebih dahulu.

Di antaranya ialah dana untuk membeli peralatan, tidak ada sumber air dan sumber eletrik, tangga menuju ke makam sudah pecah dan bagaimana mengangkut pasir dan batu-bata ke tempat makam serta berbagai-bagai persoalan lagi yang timbul satu demi satu.

Beliau menggembeling tenaga di kalangan segelintir kawan-kawannya untuk membantu. Begitu juga mereka berusaha untuk mencari dana samada dari para pelawat makam atau dikumpulkan sendiri.

Oleh kerana sumber tenaga dan dana terbatas, beliau merancang untuk membaiki sekitaran makam secara berperingkat-peringkat. Mula-mula dibersihkan semak dan lalang yang tinggi-tinggi. Kemudian membugar pokok-pokok besar yang sudah reput dan seterusnya satu demi satu.

Sejak hari beliau memulakan usaha itu, Pak Daeng menghabiskan masanya sehari suntuk di makam. Pernah beliau tidak pulang selama seminggu tetapi dirasakan baru dua hari. Walaupun dibantu oleh kawan-kawan, tetapi selalunya beliau yang melakukannya sendiri sebab hanya beliaulah yang berada di sana sepenuh masa.

Bayangkan, beliau seorang diri memikul pasir naik ke makam, memikul tong-tong berisi air, membugar akar pokok dan berbagai-bagai kerja berat yang dilakukannya sendiri tanpa peralatan canggih.

Tenaga kerja yang kurang serta modal kerja yang tidak mencukupi tidak menghalang Pak Daeng dari meneruskan usahanya. Malah, berbagai pengalaman yang ditempuhnya setiap hari di Makam menjadikan semangatnya semakin jitu untuk memulihkan keadaan makam.

“Satu hari, saya duduk di makam membaca surah Yasin. Tiba-tiba, angin bertiup kuat dan atap zinc terkopak dan jatuh ke luar makam,” cerita Pak Daeng. Beliau bersyukur, mujur atap itu tidak menghempapnya. Padanya, itu satu petanda bahawa makam ini perlu segera diperbaiki.

Setelah dirasakan modal untuk membaik-pulih sudah mencukupi, Pak Daeng mendapatkan khidmat kontraktor untuk melakukan kerja-kerja baik-pulih yang utama.

Beliau mahu membina sebuah bangsal untuk melindungi makam secara “open concept”. Bangsal itu tidak bertembok supaya makam dapat dilihat dari luar. Dapur-dapur kubur juga mahu ditinggikan serta kawasan keliling dan di halaman bangsal makam disimen. Seluruh kawasan makam itu dicat dengan motif warna kuning-hijau.

Usaha membaik-pulih yang dibuat oleh Pak Daeng dan kawan-kawannya serta kerja-kerja yang dilakukan oleh kontraktor mengambil masa setahun untuk siap. Modal yang dibelanjakan sekitar S$15,000. Satu jumlah yang tinggi memandangkan wang itu dikumpulkan mereka sendiri tanpa ada peruntukan dari mana-mana pihak.

Empat kategori pelawat
Sebagai bekas seorang pelaut, sudah tentu berbagai-bagai pengalaman yang dilalui dan banyak negara pernah beliau lawati. Mungkin, menjadi seorang penjaga makam satu-satu kerja yang dapat memberinya ketenangan jiwa sebagai seorang pesara. Pak Daeng juga bersyukur, isteri dan anak-anaknya memahami keinginannya untuk selalu berada di Makam Raden Mas.

Sebagai penjaga makam, beliau bukan sahaja harus peka dengan keadaan sekitarannya tetapi yang lebih penting menjaga kesucian makam.

Pak Daeng menjelaskan, “Orang yg datang ada 4 kategori. Pertama, orang yang selalu datang untuk menurun atau menuntut ilmu seperti dukun atau bomoh. Kedua, orang yang datang kerana ada niat atau hajat. Ketiga, orang yang mahu cari nombor ekor atau menelek nasib dan yang keempat ialah orang biasa yang datang untuk ziarah.”

Menurut Pak Daeng, golongan yang paling ramai datang ialah dukun dan bomoh. Mereka datang pada waktu malam dan ramai yang membuat perkara-perkara yang karut, seperti, duduk di atas kubur, ada yang menghisap rokok di atas kubur, ada yang mengaku roh Raden Mas masuk ke dalam badannya dan macam-macam lagi amalan songsang. Ada juga bomoh yang menipu wang orang yang datang untuk meminta bantuan mereka.

Teguran Pak Daeng tidak diterima oleh golongan ini. Oleh sebab itu, Pak Daeng mengambil keputusan untuk memagar kawasan Makam Raden Mas dengan bantuan serta persetujuan pihak pengurusan taman Mount Faber.
Kini, Makam Raden Mas hanya dibuka dari 9 pagi hingga 6 petang. Nampaknya, cara ini berkesan untuk membasmi kegiatan-kegiatan yang songsang serta dapat menjaga kebersihan makam.

Ada juga orang yang datang ke makam dan mengambil barang-barang di makam tanpa dipulangkan semula. Seperti gambar-gambar ulama, makalah-makalah sejarah mengenai Raden Mas dan Pangeran-Pangeran Jawa. Biasanya mereka berjanji untuk memulangkannya tetapi hingga kini tidak dikembalikan.

Pak Daeng memberitahu bahawa jika ada masa dan rezeki, beliau selalu ke Indonesia melawat makam-makam dan ulama-ulama di sana. Tempat yang sering beliau lawati ialah Banten, Jawa Barat. Bukan sekadar melawat, Pak Daeng juga sedang mengusahakan untuk membaik-pulih dua buah makam di Indonesia; satu di Tanjong Batu, Riau dan satu lagi di Banten.

Perubahan bagai mimpi
Sejak hari pertama Pak Daeng ke Makam Raden Mas, hatinya terpaut dan jiwanya tenang. Pak Daeng begitu akrab serta jiwanya sudah serasi dengan makam ini. Kadangkala, apabila beliau ke luar negara untuk beberapa hari sahaja, beliau akan mendapat alamat melalui mimpi yang menyuruhnya pulang menjaga Makam Raden Mas.

Berbagai cabaran dan dugaan sudah ditempuhnya selama beliau menguruskan makam. Beliau mengaku apa yang beliau lakukan sekarang bukannya dirancang, disuruh, bukan dibayar gaji atau bukan untuk menjadi masyhur, “Saya tidak pernah rancang untuk menjadi penjaga makam. Dulu, kalau boleh saya nak jadi orang kaya. Tak mahu susah.”

Beliau juga yakin, segala usaha yang dilakukannya di makam ini adalah satu anugerah Allah, bukan sesuatu yang boleh dibuat-buat atau dipaksa. “Ini semua adalah anugerah. Kalau tidak, tak boleh. Paksalah diri jaga makam, tak boleh. Sesuatu itu semua dari anugerah Allah,” jelas Pak Daeng dengan rendah diri.

Kini, setelah 4 tahun menjaga Makam Raden Mas, Pak Daeng menyifatkan perubahan pada keadaan makam ini bagaikan satu mimpi. Tidak pernah beliau menyangka beliau akan mampu mencantikkan keadaan makam yang sangat daif satu masa dahulu. Mungkin dengan berkat keikhlasannya, Allah memberikan kemudahan.

Namun, Pak Daeng menyimpan satu hajat yang belum dicapainya. Beliau berhasrat agar dapat dilihatkan wajah Raden Mas atau Pangeran Agung samada di dalam mimpi atau secara jaga.

Samada hasratnya itu diizinkan Allah atau tidak, yang lebih penting, Pak Daeng wajar dihargai kerana jasa dan usahanya yang luhur untuk memperbaiki Makam Raden Mas yang sangat usang dahulu. Kini, barulah layak makam itu menjadi tempat persemadian seorang puteri raja.

Tag: , , ,

Berdakwah Di Kubur

No Comments »

Oleh: Rudy Herman Sinen
Disiarkan di: Majalah Sarina (Karangkraf), July 2004. In PDF (1MB)

Tenang, syahdu dan hening. Begitulah suasana di tanah perkuburan. Keluarga si mati bersama-sama membantu menyempurnakan jenazah dengan mengebumikan jenazah dan membacakan talqin. Ketika talqin, terasa keinsafan menusuk jiwa dan ada juga yang akan mencucurkan air mata.

Bagi Hj Tahir Bin Karim, 52 tahun, inilah kesempatan terbaik untuk menyampaikan dakwah kepada sesiapa yang hadir di masa pengebumian itu. Berdakwah di kubur sudah tidak asing lagi untuknya. Malah, beliau menggunakan berbagai teknik berdakwah secara kreatif dalam menyampaikan dakwahnya.

Beliau ialah seorang juru mandi jenazah yang sekaligus menjadi Imam yang menguruskan pengebumian mayat. Sudah 6 tahun berpengalaman menguruskan berbagai-bagai keadaan mayat – dari yang mati sakit sehinggalah yang mati bunuh diri. Beliau menjalankan tugas ini melalui sebuah syarikat Singapore Muslim Casket yang beroperasi di Singapura.

Beliau yang satu masa dahulu bergelanggang di balapan dan aktif dalam sukan lumba lari serta silat, kini bergelanggang di tanah perkuburan.

Apabila ditanya apakah yang mendorong beliau mahu menceburkan diri dalam bidang pengurusan jenazah, dengan spontan beliau menjawab, “Kita ni banyak dosa. Moga-moga dengan melakukan pekerjaan ini pahalanya dapat tutup dosa kita.” Beliau hanya mengharapkan akan ganjaran pahala sebesar gunung Uhud, seperti yang disampaikan Rasulullah, bagi sesiapa yang menguruskan jenazah hingga sempurna.

Melalui pekerjaan ini, beliau dapat menyampaikan dakwah dengan lebih berkesan ketika semua orang sedang bersedih dan insaf. Jika ada sahaja kesempatan semasa menguruskan jenazah, beliau akan menggunakannya untuk menyampaikan peringatan. Samada semasa di rumah kematian, di dalam bas jenazah ketika menuju ke perkuburan atau semasa talqin, Hj Tahir tetap akan menyampaikan dakwahnya.

Satu lagi cara kreatif yang beliau lakukan ialah dengan mengadakan ziarah kubur selepas mengebumikan jenazah. Beliau akan membawa keluarga si mati menziarahi kubur-kubur para alim ulama dengan menaiki bas. Beliau akan menceritakan perihal kehidupan ulama tersebut dan mengajak orang yang hadir menghadiahkan Fatihah untuk para alim ulama. Ramai yang menghargai usaha beliau mengadakan ziarah kuburan alim ulama setiap kali selepas menguruskan jenazah.

Ternyata teknik dakwahnya yang unik ini membuahkan hasil. Beliau sering diminta oleh keluarga si mati agar dapat menguruskan jenazah keluarga mereka.

Beliau menceritakan pernah seorang wanita datang berterima kasih kepadanya kerana wanita itu mendapat kesedaran semasa mendengar penyampaian talqinnya. Wanita itu yang dulunya tidak bertudung kini memakai tudung selepas peristiwa itu. Selain dari itu, pekerja-pekerja di tanah perkuburan juga mendapat kesedaran hasil dari cara Hj Tahir menyampaikan talqin. Ada yang mengabaikan solat, kini sudah kembali bersolat. Dengan menggunakan bahasa mudah, penyampaiannya menjadi berkesan.

Namun, cabaran ketika menguruskan jenazah tidak kurang hebatnya. Oleh kerana pengalaman yang beliau tempuhi inilah yang membulatkan tekadnya untuk terus berdakwah.

Pernah semasa beliau datang ke sebuah rumah yang kematian bapanya, anggota keluarga itu sedang seronok menonton televisyen. Mereka dengan selamba menyuruh Hj Tahir masuk ke bilik dan menguruskan jenazah bapa mereka. Ada juga yang bermain gitar dan bergurau-senda antara lelaki dan perempuan.

Satu perkara yang Hj Tahir perhatikan ialah jenis orang-orang yang datang menziarahi si mati merupakan gambaran gaya hidup dan percampuran si mati semasa hidupnya.

Beliau teringat akan kata-kata seorang ulama Indonesia terkenal, Kiayi Anwar Musaddad yang berpesan bahawa kita dapat tahu bagaimana percampuran si mati semasa hidupnya dengan melihat siapakah yang datang ziarah di hari kematiannya.

Jika semasa hidupnya banyak bergaul dengan orang yang baik, yang datang adalah di kalangan ustaz atau orang-orang berilmu. Tetapi ada juga yang semasa hidup bergaul dengan kumpulan samseng, ahli kelab malam atau orang-orang yang bertatu, maka yang datang berziarah ialah orang-orang yang seperti itu juga yang hanya berbual-bual kosong di majlis kematian. Sedangkan yang diharapkan oleh si mati bukan harta tetapi doa dari yang masih hidup.

Memang benar pemerhatian Hj Tahir. Tahun lalu, semasa majlis solat jenazah Allahyarham Ustaz Syed Abdillah Al Jufri, seorang ulama terkenal di Singapura, tidak kurang dari 5000 orang jemaah yang bersolat jenazah di Masjid Sultan di Arab Street. Dan sebagai seorang juru mandi yang dikenali ramai, Hj Tahir merupakan salah seorang juru mandi yang menyempurnakan jenazah Allahyarham.

Hampir Dipukul Di Majlis Kematian

Setiap kali jika ada kematian, beliau akan datang ke rumah si mati bersama ibunya. Sedang kawan-kawan sebayanya bermain-main atau ke sekolah, Hjh Hasnah Embi, 52 tahun, suka untuk bersama ibunya menguruskan jenazah. Pada masa itu, beliau baru sahaja berumur 10 tahun!

Meneruskan warisan kemahiran dari datuk dan ibunya, Hjh Hasnah begitu minat menceburkan diri dalam bidang pengurusan jenazah sejak kanak-kanak lagi. Kini, setelah hampir 42 tahun menguruskan jenazah, beliau hanya tersenyum apabila ditanya apakah tidak takut melihat jenazah semasa kanak-kanak dahulu. “Memang tak takut. Mungkin dah ditentukan ini pekerjaan saya.”

Keluarganya yang tinggal di kawasan perkampungan Kaki Bukit di Singapura sejak tahun 1960an memang terkenal sebagai juru mandi jenazah. Setiap kali ada kematian, Hjh Hasnah bersama ibunya akan menguruskan jenazah sehingga sempurna. Di waktu inilah beliau menimba ilmu dan pengalaman secara langsung mengenai pengurusan jenazah dari ibunya. Sewaktu umur 16 tahun, barulah beliau dibenarkan ibunya menguruskan jenazah sendirian setelah ibunya yakin beliau mampu melaksanakan tugas ini dengan sempurna.

Beliau yang sudah banyak menempuh pengalaman menguruskan berbagai keadaan jenazah mengakui, “Cabaran menguruskan jenazah bukan dari si mati, tetapi dari orang yang hidup”.

“Banyak campur tangan dari pihak keluarga semasa kita menguruskan jenazah. Ada yang berkeras nak menguruskan ikut cara mereka, ada yang tulis ayat Allah Muhammad di atas dahi si mati atau di atas tapak tangan mayat.”

“Pernah, semasa saya berumur 20 tahun, saya hampir dipukul dengan kayu oleh salah seorang anggota keluarga si mati.”

Ia berpunca dari sedikit salah faham mengenai cara-cara memandikan jenazah. Setelah diterangkan oleh Hjh Hasnah, barulah keluarga si mati faham. Tetapi salah seorang anggota keluarga itu yang tidak mendengar penerangan Hjh Hasnah, tiba-tiba menyerangnya dengan kayu. Mujurlah ada yang menenangkan keadaan.

Selain dari itu, beliau juga pernah dimarah dan dimaki oleh keluarga si mati yang tidak faham mengenai cara-cara menguruskan jenazah.

Beliau juga sudah banyak kali menguruskan jenazah yang mati sakit, bunuh diri, terjun dari bangunan, terbakar, sakit AIDS dan juga yang sudah reput. Ada juga isteri yang gantung diri kerana suaminya curang.

Namun, cabaran-cabaran ini tidak menjejaskan minatnya untuk terus menjadi juru mandi jenazah. “Yang penting nawaitu (niat) kita,” kata Hjh Hasnah dengan penuh yakin.

“Ibarat semasa kita tunaikan haji, kalau terlintas di hati rasa cuaca panas, sudah tentu kita akan rasa cuaca panas. Begitu juga, kalau kita rasa bau busuk (jenazah), maka kita akan hidu bau busuk itu,” jelas Hjh Hasnah yang pernah menguruskan jenazah Allahyarhamah Siput Sarawak.

Sudah tentu ada sesuatu rahsia atau petua yang menjadikan Hjh Hasnah mampu bertahan menjalankan urusan ini selama 4 dekad, sungguhpun sudah berbagai cabaran yang beliau hadapi.

Sambil tersenyum, beliau mendedahkan beliau sentiasa mengamalkan pesanan ibunya iaitu amanah, tertib dan ikhlas.

Bersikap amanah semasa menguruskan jenazah dan menjaga aib si mayat, tertib semasa menguruskan jenazah sehingga sempurna dan ikhlas ketika menjalankan tugas tanpa ada sebarang kepentingan diri.

Tag: ,

10 Mahkamah Neraka di Pasir Panjang

No Comments »

Oleh: Rudy Herman Sinen
Disiarkan di: Majalah Sarina (Karangkraf), June 2004. In PDF (1.8MB)

Tempatnya di atas sebuah bukit berhadapan dengan laut di Pasir Panjang. Lebih dari 70 tahun dahulu, kawasan ini pernah didiami oleh sekeluarga Cina yang kaya-raya. Di kawasan ini juga terdapat sebuah taman luas yang penuh dengan patung-patung batu berwarna-warni.

Tetapi yang lebih menyeramkan lagi, di taman yang indah ini ada terdapat sebuah kawasan yang dipenuhi dengan patung-patung yang menggambarkan suasana siksaan di neraka. Bayangkan, sebuah patung yang menunjukkan seorang lelaki dikelar badannya dengan gergaji! Amat mengerikan!

Memang menggerunkan, tetapi tempat ini unik dan penuh dengan pengajaran yang tersirat di sebalik patung-patung yang berbagai bentuk dan ukuran. Taman tema ini dikenali dengan nama Haw Par Villa. Dibina di atas sebuah bukit di kawasan Pasir Panjang, Singapura.

Namun, taman tema ini jauh sekali seperti taman tema Disneyland atau Bukit Merah. Ia tidak ada permainan atau pun acara-acara hiburan, sebaliknya ia sebuah taman tema yang memaparkan mitos-mitos kaum Cina dan nilai moral bangsa Cina. Yang menariknya, mesej-mesej ini diketengahkan melalui ukiran-ukiran patung yang bermacam-macam rupa dan bentuk.

Haw Par Villa dimiliki oleh kedua adik-beradik Cina yang kaya, Aw Boon Haw dan Aw Boon Par. Dua beradik dari keluarga Aw ini adalah peniaga minyak bam, Tiger Balm, yang berjaya. Berasal dari Rangoon (Myanmar kini), mereka berpindah dan mengembangkan perniagaan Tiger Balm di Singapura pada tahun 1926.

Asalnya, Haw Par Villa merupakan sebuah rumah mewah yang didirikan khas oleh Aw Boon Haw untuk kediaman adiknya, Aw Boon Par. Rumah mewah (mansion) yang tersergam ini dibina di puncak salah sebuah bukit di Pasir Panjang. Perhiasan dalamannya dibawa khas dari Eropah dan siling di ruang tamunya bertatahkan emas.

Di luar kawasan rumah itu, dibina sebuah taman seluas 5 hektar yang dipenuhi dengan ribuan patung yang melambangkan budaya dan mitos bangsa Cina. Taman ini dinamakan Tiger Balm Garden. Haw Par Villa dan Tiger Balam Garden dibuka pada tahun 1937 dan kos pembinaannya dianggarkan melebihi satu juta dolar. Gambarkan betapa kayanya kedua adik-beradik ini hasil dari menjual minyak bam.

Tidak Lupa Diri

Walaupun kaya-raya, Boon Haw dan Boon Par tidak pernah lupa diri. Mereka sangat kuat berpegang kepada budaya dan nilai moral Cina yang tinggi. Pada mereka, kejayaan yang diraih patut disumbangkan semula kepada masyarakat. Aw Boon Haw pernah berkata, “Apa yang diraih dari masyarakut sepatutnya dikembalikan kepada masyarakat juga.”

Oleh kerana itu, pembinaan Tiger Balm Garden membuktikan aspirasi Aw Boon Haw yang ingin mengekalkan budaya Cina untuk generasi akan datang. Dia pernah berkata,”Saya mahu membina sebuah taman yang dapat memaparkan budaya Cina.”

Inilah hakikat sebenar tujuan dan dorongan di sebalik pembinaan taman yang luar biasa ini. Dengan semangat kental, Boon Haw mendapatkan khidmat arkitek yang mahir untuk merealisasikan impiannya, termasuk beberapa pengukir dan pelukis yang mencipta ribuan patung-patung dengan begitu teliti. Malah, dia juga terlibat secara langsung dalam mereka-bentuk Tiger Balm Garden.

Sejak ia dibuka pada tahun 1937, Tiger Balm Garden atau lebih dikenali sebagai Haw Par Villa kini, mendapat sambutan yang di luar dugaan. Ramai pengunjung yang memuji dan terpegun dengan kelainan taman ini. Seni ukir dan mengecat pada ribuan patung-patung batu amat bermutu tinggi dan unik. Ia berjaya memaparkan mitos dan kepercayaan orang-orang cina yang beragama Buddha dan Tao. Setiap ukiran dan patung terkandung bukan sahaja nilai estetikanya tetapi juga nilai dan mesej moralnya.

Namun, segala-galanya berubah apabila Jepun menjajah Singapura pada zaman perang dunia kedua. Oleh kerana Haw Par Villa terletak di kawasan Pasir Panjang, ia menghadapi serangan tentera Jepun yang bertubi-tubi di saat akhir sebelum kejatuhan Singapura ke tangan Jepun. Kawasan Pasir Panjang adalah kubu terakhir yang dipertahankan oleh askar Rejimen Melayu pimpinan Leftenan Adnan. Malah, kawasan Bukit Candu, tempat di mana Rejimen Melayu bertempur sengit dengan Jepun, sangat berdekatan dengan Haw Par Villa. Akibatnya, Haw Par Villa juga menjadi mangsa serangan tentera Jepun. Kediaman mewah Boon Par dan Tiger Balm Garden mengalami kerosakan yang meluas.

Semasa Jepun menyerang Singapura, Boon Haw dan Boon Par tidak ada di Singapura. Boon Par kembali ke Rangoon dan meninggal dunia di sana. Setelah tamat perang dunia kedua, Boon Haw kembali ke Singapura. Alangkah kecewanya dia melihatkan Villa kesayangannya itu musnah. Lalu, dia merobohkan rumah kediaman mewah itu tetapi meluaskan dan membina semula Tiger Balm Garden. Tanpa diduga, Boon Haw menemui ajalnya beberapa tahun kemudian dan tidak sempat menyaksikan hasil inspirasinya menjadi realiti.

Haw Par Villa kemudiannya diuruskan oleh orang-orang yang rapat dengan mendiang Boon Haw sehingga menjadi satu daya tarikan pelancong yang utama di Singapura pada tahun-tahun 60an hingga 90an.

Ke Alam Mitos Cina

Apabila anda melangkah masuk ke Haw Par Villa melalui sebuah pintu gerbang besar, anda seolah-olah melangkah masuk ke alam mitos Cina. Kepercayaan ini sudah wujud di dalam masyarakat Cina sejak beratus-ratus tahun dahulu. Di kiri dan kanan dipenuhi patung-patung besar dan kecil. Terdapat sebuah pagoda tinggi dengan sebuah patung Budhha yang sedang duduk dengan posisi lotus. Ada juga tiga buah patung besar menggambarkan Tuhan Fu Lu Shou yang diletakkan di sebuah tanah tinggi.

Di satu sudut di Haw Par Villa, terdapat deretan patung-patung yang dinamakan Virtues and Vices (Kebaikan dan Kejahatan). Di sini nilai-nilai moral cuba dipaparkan melalui patung-patung kecil dengan menggunakan teknik sketsa. Contohnya, sebuah pameran dinamakan “Gunakan wang dan masa ke jalan yang berfaedah.” (Put money and time to good use). Di sini terdapat patung-patung yang menggambarkan orang yang suka berjudi dan mabuk, orang yang suka berpoya-poya di kelab dan orang yang rajin bekerja untuk mencari nafkah.

Satu lagi pameran yang bertajuk “Kasihanilah haiwan” (Be kind to animals). Di sini terdapat patung-patung yang mengisahkan seorang lelaki yang pernah menyelamatkan seekor kura-kura dari ditangkap oleh nelayan. Satu hari, lelaki ini terangkap di dalam sebuah kapal yang sedang karam. Sedang dia terapung-apung di tengah lautan, datang seekor kura-kura menyelamatkan lelaki itu. Lelaki itu pun naik di atas badan kura-kura tadi. Rupa-rupanya, itulah kura-kura yang pernah diselamatkannya.

Begitulah cara pencipta taman ini, Aw Boon Haw, mahu mendidik masyarakatnya mengenai nilai moral, budaya dan adat bangsa Cina. Walaupun dia tidak sempat hidup untuk melihat kemakmuran taman ciptaannya ini, namun jasa dan hasil usahanya masih dikenang hingga kini.

Disiksa, barulah dihidupkan semula

Satu-satunya daya tarikan utama Haw Par Villa ialah Ten Courts of Hell (Sepuluh Mahkamah Neraka). Masakan tidak, namanya sahaja boleh remang bulu roma. Di sini dipaparkan gambaran siksa neraka sebagai hukuman untuk orang yang membuat kejahatan semasa hidup. Samada anda mempercayainya atau tidak, inilah tempat yang anda tidak boleh “miss”.

Menurut kepercayaan orang beragama Buddha, setiap yang mati akan dihidupkan semula (reincarnation) samada mendapat hukuman atau kesenangan. Konsep kepercayaan orang-orang Buddha mengenai “neraka” berasal dari lagenda India Buddhist dan tersebar luas di negara China semasa zaman pemerintahan Dinasti Tang. Lama-kelamaan, ia diserapkan ke dalam kepercayaan mitos dan legenda orang-orang Cina.

“Ten Courts of Hell” ialah tempat di mana orang-orang yang membuat kejahatan semasa hidupnya yang terdahulu akan disiksa di dalam ke semua sepuluh mahkamah neraka. Di mahkamah yang ke sepuluh, barulah akan ditentukan bentuk apa yang akan dihidupkan semula. Setiap mahkamah akan diadili oleh “Yama” atau hakim yang akan menentukan jenis hukuman untuk setiap orang.

Setiap orang yang mati akan dibahagikan kepada dua kelompok. Kelompok yang pertama ialah orang yang banyak membuat kebaikan semasa hidupnya. Kelompok baik ini akan melalui sebatang jembatan emas menuju ke syurga.

Sementara kelompok manusia yang melakukan kejahatan semasa hidupnya akan diheret ke depan “Mirror of Retribution” (Cermin Pembalasan) sebelum dihumbankan ke dalam neraka. Di “Mirror of Retribution”, segala kejahatan orang itu akan ditayangkan kepadanya. Setiap mahkamah neraka akan menyiksa orang itu mengikut jenis-jenis kejahatan yang pernah dilakukannya.

Mahkamah Jenayah Hukuman

Mahkamah 1

  • Abaikan tanggungjawab terhadap ibu bapa: Dihempap dengan batu-batu besar atau digiling dengan penggiling besar.

Mahkamah 2

  • Mengumpat: Lidah ditusuk dengan alat tajam.
  • Mencuri: Dipaksa berteleku di atas serpihan besi.
  • Zalim: Direbus di dalam sebuah periuk besar, dikeluarkan segala isi perut dan dimasukkan ke dalam sebuah tempat panas.

Mahkamah 3

  • Rasuah dan tamak: Tangan digari dan dipukul.
  • Biadap kepada orang tua: Tulung rusuk ditusuk, dipanggang serta jantung, hati, paru-paru, tali perut dan mata dicabut.
  • Melanggar ajaran Confucius atau menjadi seorang pegawai yang tidak adil: Jantung dicabut, lutut dihancurkan serta muka dicakar dengan alat tajam.

Mahkamah 4

  • Dosa umum: Dihumban ke dalam sungai yang deras, melutut di atas duri-duri buluh, direbus di dalam minyak panas, kepala dibelah dua.
  • Menipu atau lari cukai: Dihempap dengan batu besar dan berat.
  • Mencuri: Tangan digergaji.
  • Mungkir janji: Bibir dibelah.

Mahkamah 5

  • Menzalimi haiwan dan manusia: Jantung dicabut dengan pengait atau dihumban di atas pedang-pedang tajam.

Mahkamah 6

  • Mencuri di kuil atau melanggar ajaran Tuhan: Melutut di atas paku-paku besi, badan digergaji dua, dibaham oleh tikus gergasi.
  • Membunuh haiwan: Badan dikerat dua.

Mahkamah 7

  • Melawan kerajaan: Dibaham anjing.
  • Menyebarkan berita palsu: Lidah ditarik.
  • Menyalahgunakan dadah, menyebabkan permusuhan: Dicampakkan ke dalam air mendidih.

Mahkamah 8

  • Melakukan jenayah bertentangan dengan ajaran Confucius dan menjalankan aktiviti tidak bermoral: Dihancurkan dengan roda-roda besar, dikelar, dikeluarkan organ-orang dalam tubuh, disambar petir serta tangan, kaki dan lidah dipotong

Mahkamah 9

  • Menyeludup atau merosakkan harta awam: Dipatuk ular, disengat lebah, dihumban ke dalam air mendidih.
  • Menulis atau melukis bahan lucah: Dihempap dengan kayu, kepala dihempap dengan besi dan dikukus, tulang dicabut.

Setelah melalui Mahkamah ke-9, mereka akan dibawa ke Mahkamah ke-10 untuk ditentukan bentuk apakah yang akan mereka dihidupkan semula. Samada akan menjadi orang kaya, haiwan, burung, petani, serangga atau orang miskin.

Inilah ukiran-ukiran patung yang dipaparkan di Ten Courts Of Hell untuk memberi keinsafan kepada para pengunjung tentang pembalasan selepas mati. Tedapat serangkap tulisan di pameran “Ten Courts of Hell” yang bermaksud, “Penderitaan tidak ada hentinya di sini. Hentikanlah membuat dosa sebelum terlambat.”

Haw Par Villa benar-benar membuktikan keyakinan orang-orang Buddha dan Tao mengenai amalan dan pembalasan selepas mati serta kepercayaan bahawa keadaan kehidupan di masa hadapan akan ditentukan semasa hidup kita kini. Inilah asas nilai moral dan etika orang-orang Cina dari zaman berzaman.

Tag: , ,

Memupuk Rasa Kebersamaan Dalam Masyarakat Majmuk Singapura

No Comments »

Oleh: Rudy Herman Sinen
Disiarkan di:

Majalah Dewan Masyarakat telah menyiarkan pandangan Rudy Herman Sinen mengenai usaha memupuk rasa kebersamaan dalam masyarakat majmuk Singapura. Rencana beliau, dengan label E-mel dari Kota Singa, disiarkan pada Oktober lalu. Berikut sedutannya.

TANGGAL 21 Julai memang istimewa buat para pelajar sekolah Singapura. Pada hari itu mereka digalakkan berpakaian etnik kaum lain. Pelajar Melayu akan berpakaian tradisional Cina atau India dan begitulah sebaliknya bagi kaum Cina dan India.

Hari istimewa ini merupakan Hari Keharmonian Kaum (Racial Harmony Day). Sambutan besar-besaran akan dianjurkan di setiap sekolah demi memperingati dan menghargai betapa pentingnya memupuk dan mengekalkan keharmonian antara kaum di kalangan rakyat.

Tarikh 21 Julai dipilih kerana pada 21 Julai 1964 tercetus rusuhan kaum yang me ngerikan, yang menggugat keamanan negara Singapura.

Pada program yang dinamakan Hari Sukan Keharmonian Kaum (Racial Harmony Games Day), para pelajar diperkenalkan pelbagai permainan tradisional pelbagai kaum.

Program tersebut bertujuan mengukuhkan keharmonian kaum di sekolah-sekolah dan memperkenalkan budaya melalui permainan tradisional kaum masing-masing.

Sebagai sebuah negara yang sumber aslinya hanya manusia, keutuhan dan perpaduan di kalangan rakyat sangat penting untuk kemakmuran negara. Sepanjang hampir 40 tahun merdeka, Singapura telah berjaya menyediakan kehidupan yang bertaraf dunia kepada rakyatnya.

Kini hampir 80 peratus rakyat Singapura memiliki rumah sendiri, berpendidikan sekurang-kurangnya peringkat ‘O’ dan mempunyai sebilangan besar tenaga kerja yang berkemahiran tinggi.

Wujudnya pelbagai kaum di Singapura bolehlah diibaratkan seperti bulatan-bulatan yang bertindih (overlapping circles).

Sebahagian daripada bulatan itu wujud dengan sendirinya, sementara sebahagian lagi bertindih dengan bulatan yang lain.

Seperti bahagian bulatan yang tidak bertindih, setiap kaum mempunyai amalan tradisi yang tersendiri dan memang sewajarnya dikekalkan demi keutuhan bangsa itu sendiri.

Namun, sebagai sebahagian daripada anggota sebuah masyarakat yang berbilang kaum, setiap kaum itu mesti meninjau keluar daripada lingkungan bangsa dan agama mereka masing-masing.

Di bahagian mana yang boleh kita jalin titik persamaan dan membina ras kebersamaan, maka sudah sepatutnya digalakkan.

Dengan adanya ruang dalam kehidupan dan budaya setiap kaum yang dapat dikongsi bersama, maka ia diharapkan akan dapat menjamin keutuhan sebuah negara berbilang kaum daripada dirobek oleh anasir-anasir yang inginkan perpecahan.

Menurut contoh tadi, bahagian bulatan yang bertindih itulah bahagian yang dapat setiap kaum bekerjasama dan kuat-menguatkan antara satu sama lain.

Ia perlu dikuatkan oleh jalinan sosial yang kukuh melalui proses mengenali dan memahami budaya dan agama masing-masing.

Setiap kaum harus memandang luar daripada lingkungan kaum mereka agar kita dapat meninjau daripada sudut yang kita dapat membantu kaum lain demi perpaduan negara secara keseluruhannya.

Pada awal tahun ini, Perdana Menteri Singapura, Encik Goh Chok Tong, mengutarakan satu konsep baru untuk memupuk keharmonian kaum. Beliau mengusulkan agar dibentuk Kumpulan Keyakinan Antara Kaum (Inter-Racial Confidence Circles atau rinhgkasnya IRCC).

Idea ini bertujuan menyediakan landasan bagi pemimpin masyarakat daripada pelbagai kaum menjalin ikatan dan persefahaman. Kumpulan ini merupakan satu usaha memperdalam rasa penghargaan terhadap budaya kaum lain dan memperteguhkan keyakinan terhadap sesama kaum.

Para pemimpin masyarakat dan agama seharusnya memainkan peranan yang utama dalam menjayakan konsep IRCC ini.

Setiap kaum mesti menilai bentuk sumbangan yang dapat diberikan agar perpaduan kaum yang dibina dapat berkekalan dan diteruskan ke generasi seterusnya.

Membina rasa percaya-mempercayai sesama kaum merupakan satu usaha yang berterusan kerana, jika tidak perpaduan yang sudah dipupuk akan hancur jika tragedi seperti serangan 11 September 2001 berulang kembali.

Memang tidak dapat dinafikan, kejadian serangan 11 September meletakkan masyarakat Islam seluruh dunia di dalam perhatian.

Tidak cukup dengan itu, penangkapan anggota-anggota Jemaah Islamiyah (JI) di Singapura yang ada kaitan dengan Al-Qaeda hampir-hampir menggugat keharmonian kaum di sini.

Reaksi masyarakat Islam setempat adalah jelas mereka menolak cara militan JI dan pada masa yang sama berusaha untuk memberi penerangan dan menonjolkan imej keamanan yang sebenar kepada masyarakat bukan Islam.

Semasa sambutan Hari Keharmonian Kaum, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) menganjurkan acara lawatan ke masjid-masjid untuk masyarakat bukan Islam. Lawatan merupakan satu acara tahunan yang sering kali mendapat sambutan yang menggalakkan.

Tujuan utama dianjurkan acara lawatan ini adalah untuk memberi peluang lebih ramai penduduk bukan Islam dan Islam menyertai rumah terbuka agar mereka dapat lebih memahami kehidupan masyarakat Islam di sini dan peranan masjid sebagai pusat kegiatan masyarakat.

Program tadi dapat membantu mereka melihat sendiri pelbagai kegiatan masjid, yang bukan hanya untuk tujuan bersolat.

Antara kegiatan di masjid-masjid Singapura, selain kelas agama, ialah kursus teknologi maklumat, kelas prasekolah, kelas bimbingan pelajar, perpustakaan berbilang media, pusat khidmat sosial dan sebagainya.

Persatuan Muslim Universiti Nasional Singapura (NUSMS) dan Persatuan Muslim Universiti Teknologi Nanyang (NTUMS) telah menganjurkan satu acara pameran dan penerangan mengenai Islam di pekarangan universiti masing-masing pada Mac lalu.

Pameran ini bertujuan menerangkan nilai-nilai Islam dan bagaimana nilai-nilai ini dapat membantu membina negara yang makmur.

Malah NUSMS membuka keanggotaan persatuan mereka kepada siswa bukan Islam sebagai anggota bersekutu.

Inisiatif bijak yang diambil oleh mahasiswa-mahasiswa Islam di Singapura untuk merapatkan jurang antara kaum dapat menjamin kesejahteraan negara apabila mereka masuk ke alam pekerjaan dan menjadi pemimpin masyarakat kelak.

Ketika berucap sempena Hari Pertubuhan Antara Agama (Inter-Religious Organisation Day) pada awal tahun ini, Dr Yaacob lbrahim (Pemangku Menteri Pembangunan Masyarakat dan Sukan yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam) menggariskan tiga strategi yang mesti dilakukan oleh setiap warga Singapura. Secara umumnya:

Pertama, soal keharmonian kaum merupakan satu hal yang amat sensitif. Cukup jika terjadinya kejadian yang negatif maka segala usaha ke arah keharmonian kaum dan agama yang sudah dibina selama ini akan hancur musnah.

Kedua, para pemimpin agama hendaklah faham peri perlu mengambil langkah sederhana dan perlunya ditekankan sikap kepekaan dan hormat terhadap gaya hidup masyarakat daripada agama lain.

Sebagai concoh, masyarakat Hindu mengubah jadual perayaan Thaipusam, yang selalunya diadakan pada pagi hari, kepada waktu dinihari agar tidak berlaku kesesakan jalan raya dan ketidakselesaan kepada pengguna jalan raya yang lain. Orang Cina membakar incense papers di dalam tong-tong khas yang disediakan pemerintah, sementara masjid-masjid pula merendahkan suara daripada alat pembesar suara ketika azan.

Ketiga, setiap warga Singapura mestilah sentiasa menjalin hubungan dan mengenali satu sama lain agar kita dapat memahami dan menghargai keistimewaan yang ada pada setiap individu dan masyarakat sesuatu kaum. Apabila setiap anggota masyarakat daripada berbagai-bagai kaum dan agama tinggal, belajar, bermain dan bekerja bersama maka kita akan lebih mengenali dan menghormati perbezaan yang terdapat pada budaya kaum lain.

Sebuah negara yang penduduknya tergolong dalam masyarakat yang berbilang kaum merupakan sebuah negara yang unik dan istimewa. Setiap kaum mempunyai ciri-ciri dinamika yang tersendiri dan boleh digunakan untuk kemakmuran negara.

Namun dengan wujud perbezaan amalan dan kepercayaan setiap kaum, maka akan wujud juga risiko perselisihan faham dan syak wasangka di kalangan kaum-kaum yang berbeza.

Oleh itu, hanya melalui kesedaran dan usaha bersepadu dari kalangan anggota masyarakat setiap kaum untuk memupuk dan menghargai budaya kaum lain dapat menjamin penakatan dan kemakmuran Singapura kini dan akan datang.

Tag: , ,

Easy AdSense by Unreal
SEO Powered by Platinum SEO from Techblissonline